Bukan mudah jadi Mislina

Bukan mudah jadi Mislina

15 TAHUN dalam industri, Mislina mengakui dia memang seorang yang cukup selektif.



USIA pembabitannya dalam bidang seni sudah menjangkau 15 tahun. Sepanjang tempoh itu, harus diakui tidak ramai sebenarnya yang mengenali Mislina Mustaffa.

Mungkin tuah tidak pernah berpihak kepadanya untuk dikenali ramai seperti mana aktres popular yang lain.

Malah, sepanjang 15 tahun menjadi hamba seni, kata Mislina penuh jujur, jarang sekali dia diberikan publisiti.

Lalu, saya berkata kepadanya, apakah kerana dia tidak memiliki paras rupa yang jelita menjadikannya mangsa diskriminasi walaupun bakat lakonannya bukan calang-calang.

Sambil ketawa kecil, seraya dia berkata: “Saya yang memilih untuk tidak menjadi popular mahupun dikenali ramai kerana saya berjuang dalam bidang ini bukan untuk menjadi bintang ternama.

“Lahir saya ke persada seni adalah dengan jiwa yang kental demi kecintaan saya terhadap seni yang sudah sebati dalam hidup saya sejak azali.

“Lewat kebelakangan ini sahaja orang sudah mula mahu mengenali siapa Mislina Mustaffa kerana kontroversi filem Zaiton Ceritaku, kisah kepala botak saya dan juga pencalonan untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) lalu.”

Ya, survival Mislina dalam bidang seni barangkali tidak sama dengan bakat-bakat muda zaman ini yang mana platform dan peluang semuanya sudah ada di depan mata.

Lebih untung jika seseorang itu memiliki paras rupa yang menawan walaupun bakat lakonan tidak seberapa.

Memang ralit mendengar cerita Mislina saat ditanya pengorbanan dan semangat juangnya dalam menempuh hidup sebagai anak seni selama 15 tahun.

Berontak kerana seni

Benar. Tempoh itu bukan masa yang singkat. Tetapi, Mislina menganggap 15 tahun itu sebagai perjalanan yang penuh cerita hitam putih untuk dirinya baik sebagai seorang individu dan juga pelakon.

Mislina memberitahu, dia boleh meneruskan impian kedua ibu bapanya yang mahu melihatnya menjadi seorang doktor perubatan.

Bekas penuntut Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan ini sebenarnya memiliki kelulusan yang selayaknya untuk dia terbang jauh ke Switzerland dan Jepun bagi menyambung pengajiannya.

“Tetapi, saya memberontak dan menolak peluang itu. Saya memang mahu menceburi bidang seni kerana saya cukup cintakan seni dan lakonan.

“Kedua orang tua saya hanya mampu menerima keputusan saya walaupun sebenarnya tidak ‘merestui’ cita-cita saya itu,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini tanpa selindung.

Pada sangkaan saya, apabila dia menolak peluang keemasan itu, dia akan meneruskan pengajiannya dalam bidang yang berkaitan dengan seni. Namun, jawapan yang diberikan terus mengejutkan saya.

Kata Mislina, dia langsung tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni dan dia belajar dari bawah dengan figura unggul yang pada hemat Mislina telah membentuk dirinya seperti mana hari ini.

“Saya bertuah kerana dapat menimba ilmu daripada guru-guru saya yang cukup hebat seperti Ahmad Yatim, mendiang Krishen Jit, Datuk Faridah Merican, Joe Hasham, Kamal Ishak, Fauziah Nawi, Allahyarham Yasmin Ahmad dan Osman Ali.

“Mereka inilah yang banyak memberi peluang kepada saya untuk meluaskan lagi bakat lakonan saya dan percaya akan kebolehan saya sebagai seorang pelakon. Dari pentas teater, televisyen sehinggalah ke filem.

“Walaupun watak yang sering diberikan kepada saya hanyalah sekadar pembantu, itu bukan satu masalah buat saya untuk meluahkan emosi dan jiwa saya menerusi watak-watak itu,” kata wanita berkulit sawo matang berusia 39 tahun ini bersungguh.

Kepayahan hidup Mislina

sepanjang tempoh 15 tahun menjadi seorang anak wayang, Mislina akui, laluannya tidak selalu lancar. Di landasan seni penuh liku, kadang-kala ada halangan yang merenggut sinar yang diharapkan akan terus menerangi laluan yang direntasi itu.

Masih segar dalam ingatannya dan Mislina bersumpah pengalaman yang satu ini akan terus abadi dalam mindanya dan dia akan membawa kenangan itu bersemadi bersamanya ke liang lahad.

Cerita Mislina, ketika negara mengalami kegawatan, dia memang terkena tempias yang cukup teruk sehingga tiada tawaran berlakon yang diterimanya.

Hanya mereka yang mempunyai nama besar dan popular ketika itu sahaja yang terus mendapat peluang berlakon.

Mahu atau tidak, kata Mislina, dia perlu mencari sesuap nasi dan meneruskan kehidupannya bersama teman-temannya yang juga mengalami nasib yang serupa.

“Apa yang kami lakukan ketika itu adalah menyanyi dan bermain muzik di jalanan. Bayangkan saya tidak boleh bermain alat muzik namun, kerana mahu terus hidup, saya gagahkan diri dengan mempelajari didgeridoo iaitu alat muzik tradisional Australia.

“Kami berjalan empat jam pergi dan balik setiap hari dari rumah di Bukit Antarabangsa ke Menara Maybank yang terletak berhadapan dengan Puduraya dan membuat persembahan di situ.

“Ada ketika dalam sehari kami hanya mendapat RM3 sahaja dan bayangkan dengan jumlah itu untuk menyuapkan lima mulut. Bayangkan berapa sangat yang kami dapat untuk mengisi perut setiap hari.

“Ia berlanjutan sehingga empat tahun sehingga keadaan pulih seperti sedia kala. Mungkin kalau orang lain, saya rasa mereka pasti akan berpatah balik dan melakukan kembali perkara yang mereka tinggalkan dulu.

“Tetapi, tidak untuk saya. Kalau hati saya sudah bulat dan mahu meneruskan minat saya dalam bidang seni, saya akan teruskan biarpun payah dan pedih perlu saya tempuhi. Dalam erti kata lain, memang bukan mudah menjadi Mislina Mustaffa,” ceritanya sambil tersenyum sendirian mengenangkan kisah itu.

Saat diajukan, adakah ketika itu dia berasa menyesal dengan tindakannya yang mahu menjadi anak seni walaupun tahu pahit maung yang akan dirasai, dengan pantas dia menggelengkan kepala sambil mengusap rambut yang sudah kembali tumbuh itu.

Dengan pengalaman yang dilaluinya itu kata Mislina, setidak-tidaknya dia dapat merasai semuanya dan mampu berkongsi dengan sesiapa sahaja. Dalam erti kata lain, kalau tidak merasainya sendiri, memang sukar untuk bercerita pengalaman itu.

“Saya seorang yang suka mengambil risiko dan kerana kedegilan serta kecekalan saya itulah, saya mampu terus hidup dan berada di sini selama 15 tahun. Saya hanya menjadi diri saya sendiri dan saya tidak akan berubah hanya kerana mahu mengikut telunjuk orang,” ujarnya dengan maksud yang penuh mendalam.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Tangkal Besi Movie 2011 sdtvrip