7,000 bebola lumpur dilontar ke Pd

7,000 bebola lumpur dilontar ke pantai PD































TELUK KEMANG 26 Nov. - Kaedah bebola lumpur mikroorganisma efektif (EM) dalam usaha melestarikan keindahan alam sekitar masih kurang meluas penggunaannya untuk memulihara pantai peranginan Port Dickson di sini.

Namun, kaedah tersebut dilihat cukup efektif dan murah memandangkan bebola lumpur mengandungi mikroorganisma yang sangat berkesan membersihkan air selain ia terdiri daripada bahan semula jadi.

Menyedari hakikat tersebut, program Projek Revive-PD 2010 yang berlangsung dua hari bermula hari ini berusaha mengetengahkan kaedah tersebut dengan menjadikan aktiviti membaling bebola lumpur sebagai aktiviti utama program.

Menurut pengarah projek, Raymund Gagarin dari syarikat Revival Production Sdn. Bhd., sebanyak 7,000 biji bebola lumpur dilontarkan peserta ke laut dalam program yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Dataran Seri Kemang, Batu 8 Jalan Pantai Port Dickson di sini.

"Kaedah melontar bebola lumpur yang sudah meluas digunakan di negeri lain seperti Pulau Pinang merupakan salah satu usaha memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kaedah ini dalam memulihara pantai kita," katanya selepas majlis perasmian program tersebut hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Tambah Raymund, aktiviti yang sama turut diadakan di pantai Teluk Batik Lumut, Perak pada Jun lepas.

"Ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial Revival Production dalam memulihara alam sekitar terutama pantai peranginan yang menjadi tumpuan pelancong.

"Selepas Teluk Batik dan Port Dickson, projek ini akan diperluaskan ke seluruh negara dengan bantuan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dalam pada itu, seramai 1,000 sukarelawan terdiri daripada kakitangan kerajaan, pihak swasta dan penduduk setempat menyertai pelbagai aktiviti yang bermula pada 8 pagi hingga 10 malam.

Antaranya, aktiviti membersihkan pantai, menanam pokok, mengecat kemudahan awam, pertunjukan laser, demonstrasi kraf barang kitar semula, pemeriksaan kesihatan dan senamrobik.

Menurut salah seorang peserta, Saloma Jamil, 37, program itu sangat menarik dan berfaedah dalam mendidik orang ramai supaya peka kepada kebersihan alam sekitar.

"Saya memang selalu menjadi sukarelawan membersihkan pantai seperti ini demi memastikan ia sentiasa bersih. Selain itu program menarik apabila didedahkan dengan kaedah bebola lumpur.

"Apatah lagi ketika cuti sekolah sekarang elok juga membawa anak- anak sekali untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai," katanya.

Menurut seorang lagi peserta, K. Surecess, 36, program seumpama itu wajar diadakan selalu memandangkan pantai Port Dickson sering menjadi tumpuan pengunjung.

"Semua pihak harus memainkan peranan termasuk orang awam kerana tempat ini selalu dikunjungi pelancong, malu jika mereka lihat pantai kita kotor," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban