The Beatles kuasa carta iTunes

The Beatles kuasa carta iTunes








GAMBAR kulit muka depan album Abbey Road The Beatles yang kembali popular
setelah lagunya dirakam secara digital dan disiarkan di iTunes. - AGENSI





LOS ANGELES 17 Nov. - Kumpulan The Beatles mengungguli carta album iTunes apabila lima daripada album klasiknya berada di kedudukan 20 album teratas, kurang 24 jam selepas katalog kumpulan muzik itu diperkenalkan buat kali pertama oleh pengedar muzik digital nombor satu dunia tersebut.

Abbey Road mendahului album-album lain The Beatles semalam diikuti The White Album dan Sgt Pepper's Lonely Hearts Club Band.

Album digital khas Beatles Box Set yang dijual pada harga AS$149 (RM476.8), turut melonjak 20 tangga teratas bersama album Blue Album yang memuatkan lagu-lagu terbaik kumpulan itu.

Menurut data terkini di laman web iTunes, lagu-lagu single kumpulan tersebut seperti Here Comes the Sun, Let it Be dan Blackbird, muncul antara 100 lagu tertinggi yang dimuat turun.

Data terperinci tentang muat turun muzik di Amerika Syarikat (AS), hanya akan diperolehi minggu depan daripada penjejak carta Nielsen Soundscan.

Kedai iTunes milik Apple semalam, memperkenalkan 13 album digital terbaik yang diterbitkan The Beatles lebih 40 tahun lalu, sekali gus mengakhiri perbincangan yang tidak mendatangkan hasil antara pengasas Apple, Steve Jobs; syarikat pengurusan The Beatles, Apple Corps; dan syarikat rakaman EMI.

Seorang daripada anggota kumpulan terkenal itu, Paul McCartney berkata, sambutan hebat yang diterima untuk lagu-lagu kumpulannya dalam bentuk digital amat mengagumkan, sama seperti semasa ia diterbitkan dalam bentuk piring hitam.

Pemain drum, Ringo Starr berkata, dia kini tidak perlu lagi menjawab soalan bilakah lagu-lagu The Beatles boleh didapati di iTunes, sementara balu kepada John Lennon, Yoko Ono menyifatkan pengenalan lagu digital itu sangat wajar bersempena ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-70, tahun ini.

Di London, syarikat Official Charts berkata, pihaknya yakin muzik The Beatles akan membawa kesan besar kepada carta lagu single United Kingdom bermula Ahad ini apabila jualan mingguan serta data muat turun dikeluarkan.

Menurut Apple Corps, kumpulan muzik terkenal itu telah menjual lebih 600 juta unit album sebelum lagu berbentuk digitalnya diperkenalkan semalam. - REUTERS

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban