Berlumba untuk sihat

Berlumba untuk sihat








Antara aktiviti yang diadakan pada program Perlumbaan Ke Sasaran 2010.

PADA masa ini, kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia atau satu daripada setiap enam orang dewasa yang melebihi usia 30 tahun menghidap diabetes.

Apa yang lebih mengejutkan, kelaziman berlakunya diabetes di Malaysia hampir dua kali ganda pada kadar yang lebih cepat daripada ramalan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), seiring dengan perkembangan kadar rakyat yang obesiti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2030, sejumlah 2.48 juta rakyat Malaysia akan menghidap diabetes.

Pada peringkat global, kelaziman berlakunya diabetes juga sedang meningkat disebabkan beberapa faktor, seperti pertambahan bilangan penduduk, proses penuaan, urbanisasi, peningkatan golongan obesiti dan kekurangan gerak kerja jasmani.

Malah, IDF meramalkan bahawa menjelang tahun 2025, rantau Asia Tenggara akan mempunyai kadar kelaziman diabetes yang tertinggi.

Setiausaha Agung Persatuan Diabetes Malaysia (PDM), Datuk Rahimah Ahmad, berkata, beberapa statistik telah menunjukkan bahawa diabetes sedang meningkat di rantau ini.

Memandangkan perubahan gaya hidup moden yang mendadak, rakyat Malaysia perlu memahami bahawa diabetes ialah masalah kesihatan dan orang ramai perlu mengawal keadaan sebelum terlambat.

''Kita perlu sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa perubahan gaya hidup yang sihat sangat penting dalam mencegah dan menguruskan diabetes jenis 2, iaitu jenis diabetes yang paling lazim dan melibatkan kira-kira 90 peratus pesakit diabetes seluruh dunia," katanya.

Sementara itu Ketua Unit Perniagaan MSD, Sunny Lim, kadar kelaziman diabetes yang semakin meningkat di Malaysia sepatutnya menjadi sebab yang kukuh untuk rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang sihat.

''Kepada semua pesakit diabetes, perlu diingatkan bahawa pendekatan disiplin terhadap pengurusan diabetes sangat berkesan dalam mencegah komplikasi masa depan dan membolehkan pesakit diabetes menikmati hidup bermutu.

''Justeru pihak kami menganjurkan satu perlumbaan larian yang membawa mesej ke arah kehidupan yang sihat.

''Perlumbaan Ke Sasaran 2010 ialah acara pendidikan awam yang dianjurkan bersama oleh MSD dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) untuk menanamkan mesej penting iaitu hidup sihat dengan diabetes boleh dicapai dengan sikap mental yang betul dan menerusi pendekatan gaya hidup yang sihat,'' terangnya.

Acara ini kata Lim, kembali buat tahun kedua berturut-turut dan diadakan di Taman Tasik Lembah Kiara, Taman Tun Dr. Ismail.

Bertemakan Hidup Sihat Dengan Diabetes, Perlumbaan Ke Sasaran 2010 menepati hasratnya, iaitu meningkatkan kesedaran tentang diabetes dan pengurusan diabetes melalui kegiatan yang dianjurkan sepanjang acara itu.

Lebih daripada 350 orang, termasuk pesakit diabetes, menyertai larian ini.

''Perlumbaan Ke Sasaran ialah acara pendidikan tahunan keempat yang dianjurkan oleh MSD sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran yang berterusan tentang diabetes.

''Kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes oleh MSD bermula pada tahun 2007 dengan pengenalan teh tarik kurang gula untuk menghebahkan kepentingan sajian yang rendah kandungan gulanya.

''Pada tahun 2008, bengkel dan pameran yang dianjurkan tertumpu pada keperluan khasiat dan pemakanan serta penyediaan makanan yang berkhasiat,'' katanya.

"Kami berharap acara pendidikan holistik yang penuh dengan keriangan ini akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk berusaha mencapai matlamat masing-masing, sama ada aras glukosa dalam sasaran atau menjalani hidup yang sihat," kata Lim.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban