Info - PM rasmi karnival jualan produk PDK 4 Disember

PM rasmi karnival jualan produk PDK 4 Disember

PUTRAJAYA 26 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan karnival jualan produk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) peringkat kebangsaan dan Bakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010 di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 4 Disember ini.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program anjuran Bakti itu melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga rakan kongsi utama dengan kerjasama badan-badan amal isteri pemimpin negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan.

Isteri Perdana Menteri berkata, program tersebut yang dianjurkan buat julung kalinya itu adalah satu strategi membantu negara dalam membangunkan masyarakat dan menterjemahkan rasa prihatin terdapat golongan orang kurang upaya (OKU).

''Seramai 560 peserta terdiri daripada OKU, para petugas pusat PDK dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan hadir pada program sehari itu.

''Karnival itu bertujuan menggerakkan aktiviti pusat PDK seluruh negara dengan satu aktiviti berpusat selain menggalakkan mereka mengeluarkan hasil produk bermutu melalui karnival jualan," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di sini hari ini.

Rosmah berkata, karnival tersebut boleh dijadikan wadah pertukaran idea di kalangan pusat PDK untuk menghasilkan produk berkualiti dan menyerlahkan bakat seni golongan OKU selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bakat yang mereka miliki.

Beliau berkata, acara pertandingan dalam program karnival jualan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu produk kraf tangan, makanan dan hasil pertanian serta penternakan.

Tambah beliau, program Bakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010 pula terbahagi kepada tiga kategori persembahan yang dipertandingkan iaitu nyanyian solo, duet dan tarian berkumpulan.

''Program tersebut diharap membuka mata masyarakat bahawa OKU juga mempunyai daya usaha sendiri, mampu berdikari serta mempunyai bakat istimewa yang boleh diketengahkan.

''Usaha murni ini dapat membantu meningkatkan jati diri dan kecekalan diri mereka untuk meneruskan kehidupan pada masa hadapan," katanya.

Rosmah menambah, pada tahun depan, Bakti dengan kerjasama Kementerian Kesihatan juga akan mengadakan program pendedahan awal kepada ibu bapa tentang penjagaan anak ketika mengalami demam panas bagi mengelak anak-anak menghadapi masalah hilang upaya.

''Program intervensi tersebut baik untuk mendidik ibu bapa mengenai cara yang betul mengendalikan anak- anak yang mengalami demam panas supaya tidak terkena sawan hingga menyebabkan mereka mengalami kecacatan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban