kunci kejayaan anak Orang Asli
Ulang kaji berterusan kunci kejayaan anak Orang Asli
PEKAN 13 Nov. - Walaupun menetap jauh di pedalaman, ia tidak menghalang seorang anak Orang Asli untuk memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini.
Bagi Juyana Teorbakson, 12, ia langsung tidak memberi kesan kepada kualiti pembelajarannya malah memberinya semangat untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Tegasnya, dia berazam mengubah kehidupan keluarganya supaya menjadi lebih baik pada masa akan datang.
"Saya amat bersyukur dengan keputusan UPSR ini dan ingin menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh.
"Ibu bapa saya banyak memberi dorongan, malah di sekolah pula guru selalu memberi bimbingan yang tidak berbelah bahagi agar saya berjaya," katanya ketika ditemui pada program 'Sinar Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)-Kids Camp' di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Yaacob, Dekan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Ibrahim Che Omar dan Guru Besar SK Runchang, Ismail Md. Yassin.
Juyana berkata, usaha serta mengulang kaji pelajaran secara berterusan merupakan kunci kejayaannya dalam peperiksaan itu.
''Saya mengulang kaji pelajaran selama dua jam di rumah setiap hari," jelasnya.
Selain itu katanya, doa dan restu kedua ibu bapa amat perlu jika mahu berjaya dalam kehidupan.
"Saya tidak mahu menjadikan keadaan saya sebagai Orang Asli, satu kekurangan sehingga menjejaskan cita-cita untuk menjadi seorang doktor," tegasnya.
Sementara itu, Ismail berkata, ini merupakan kali pertama sejak sekolah itu dibuka pada 1992, muridnya mendapat 5A dalam UPSR.
"Ini merupakan rekod cemerlang yang perlu dibanggakan. Namun pada UPSR kali ini, hanya 33 murid yang hadir daripada 57 yang mendaftar," katanya.
Menurut beliau, ia merupakan masalah utama yang sering berlaku di sekolah-sekolah yang murid-muridnya terdiri daripada Orang Asli.
''Bagaimanapun, peratusan lulus mata pelajaran juga meningkat iaitu 40 peratus tahun ini berbanding 33 peratus tahun lalu," katanya.
Comments
Post a Comment