Mahkamah lawat lokasi laluan Aminulrasyid

Mahkamah lawat lokasi laluan Aminulrasyid
























SHAH ALAM 23 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini ditunjukkan 12 lokasi yang dilalui oleh Aminulrasyid Amzah, bermula di sebuah restoran sebelum remaja berusia 15 tahun itu ditembak mati di Seksyen 11, pada 26 April lalu.

Lokasi tersebut dilawati dengan dipandu arah oleh Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob dari Cawangan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Mohd. Azamuddin Omar, 15, rakan yang berada bersama mangsa di dalam kereta Proton Iswara Aeroback BET 5023 pada malam kejadian.



























GAMBAR RAJAH GAMBARAN LOKASI

Tiga anggota unit kereta peronda yang bertugas pada malam tersebut turut menunjukkan lokasi mereka melihat kereta dipandu Aminulrasyid dan mula mengejar mangsa sehingga ia terbabas di Jalan Tarian.

Lawatan oleh Hakim Latifah Mohd. Tahar bersama barisan pendakwaan, peguam bela serta tertuduh, Koperal Jenain Subi yang dibawa menaiki sebuah bas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di Restoran Ali's Corner di Jalan Platinum G7/G, Seksyen 7 di sini pada pukul 12.25 tengah hari.

Mohd. Azamuddin menunjukkan cara kereta Proton Iswara bergeser dengan sebuah kereta jenis Toyota Celica berwarna biru gelap di hadapan restoran itu.

Lawatan yang turut disertai kenderaan petugas media itu dibawa pula melalui Jalan Platinum 7/56 dan Jalan Platinum 7/58 sebelum menuju ke Persiaran Kayangan sehingga ke Bulatan Kayangan.

Semasa melalui Persiaran Dato' Menteri, rombongan itu berhenti bagi menunjukkan lokasi kereta dipandu Aminulrasyid bergeser dengan sebuah motosikal.

Seorang anggota unit kereta peronda turut menunjukkan lokasi berhampiran Kompleks PKNS dan Bangunan Sirim tempat mereka mengejar dan mengarahkan kereta itu berhenti.

Perjalanan diteruskan ke Bulatan Permai sebelum membelok ke Persiaran Masjid sehingga sampai ke Bulatan Setia Jaya dan masuk ke Persiaran Masjid diikuti Persiaran Kayangan sehingga ke Bulatan Kayangan.

Melalui Jalan Wau 11/1 dan Jalan Tarian 11/2, rombongan itu sampai di tempat kejadian dan berhenti untuk seketika.

Mohd. Azamuddin sempat menceritakan secara ringkas kejadian pada malam itu sehingga dia berjaya meloloskan diri menerusi tingkap cermin kereta yang retak sebelum melarikan diri ke Jalan Gamelan 11/2E.

Dalam kes itu, Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11 antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April lalu.

Dia dibicara mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mazli semasa memberi keterangan di mahkamah berkata, beliau membuat pemeriksaan laluan peluru dengan menggunakan penunjuk arah 'trajektori' pada kesan tembakan di bahagian cermin belakang kereta Proton Iswara pada 3 Mei lalu.

Ia bagi memberi gambaran serta membantu pengawai penyiasat memahami keadaan kes itu menunjukkan arah tembakan adalah lima darjah ke bawah.

''Perbezaan akan berlaku pada sudut tembakan kerana pada malam kejadian (26 April) kereta tersebut mungkin berada dalam keadaan condong manakala pada 3 Mei, kereta itu mungkin berada dalam keadaan mendatar.

''Hasil pemeriksaan juga menunjukkan tembakan dilepaskan dari arah belakang bahagian kiri kerana tembakan adalah ke arah kanan,'' katanya.

Beliau turut memeriksa kesan geseran pada bahagian bumper depan sebelah kanan sebuah kereta jenis Toyota Celica pada 4 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang cat asing dijumpai pada kesan geseran itu.

Menurut Mazli, beliau juga dibawa memeriksa laluan kereta Proton Iswara pada malam kejadian dengan dipandu arah oleh Mohd. Azamuddin selama tiga jam bermula pada pukul 9.30 malam keesokan harinya.

Perbicaraan bersambung pada 29 November ini.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban