Merapoh bakal berubah wajah

Merapoh bakal berubah wajah



















Abdul Rahman Mohamad menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji dari daerah Lipis pada majlis sambutan Aidilfitri DUN Padang Tengku, Lipis, Pahang, baru-baru ini




TRAGEDI kemalangan maut yang mengorbankan 15 penumpang pada 30 November 2003 di Jalan Kuala Lipis-Merapoh terus dikenang terutama kepada pengguna jalan raya yang berulang alik antara Kuala Lumpur dengan Kota Bharu, Kelantan.

Kemalangan tragis membabitkan penumpang bas Ekspres Mutiara dan sebuah bas sekolah itu menyebabkan nama Merapoh yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku popular sehingga hari ini sebagai kawasan hitam atau laluan ‘sakaratulmaut’.

Bagaimanapun, kejadian tujuh tahun lalu itu tidak menjadi halangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad, 48, untuk membangun dan mengubah wajah Merapoh daripada kawasan hitam menjadi sebuah pusat pertumbuhan baru.

Merapoh dan 70 kampung dalam DUN Padang Tengku adalah kawasan luar bandar yang kini menikmati pelbagai kemudahan dan prasarana asas seperti bekalan air, elektrik, jalan, masjid dan balai raya.

Walaupun dari segi geografinya, Padang Tengku terletak di kawasan Hulu Jelai sehingga bersempadan dengan daerah Gua Musang, Kelantan tetapi ia kini menjadi laluan utama yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kelantan.

Malah bagi Abdul Rahman, Merapoh kini banyak berubah iaitu daripada kawasan ‘hitam’ menjadi semakin sibuk sehingga membuka banyak peluang perniagaan dan rezeki kepada penduduk.

Berikut adalah wawancara wartawan Utusan Malaysia, Ali Mahmood bersama Abdul Rahman, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk jelaskan mengenai usaha untuk memajukan Merapoh sebagai sebuah bandar baru atau pusat sehenti?

ABDUL RAHMAN: Kedudukan strategik Merapoh yang menjadi penghubung antara Kota Bharu dengan Kuala Lumpur menjadikan kawasan itu sangat berpotensi untuk dibangunkan menjadi pusat sehenti dan bandar baru.

Merapoh kini menjadi destinasi persinggahan lebih 300 bas ekspres setiap malam sama ada untuk berhenti makan atau berehat.

Kehadiran begitu banyak bas ekspres yang membawa ramai penumpang memberi peluang perniagaan kepada penduduk Merapoh dan Padang Tengku untuk mengusahakan gerai makan dan restoran yang beroperasi di kawasan tersebut.

Dengan kelebihan tersebut, saya menggesa penduduk Merapoh supaya bijak merebut peluang perniagaan yang wujud di kawasan itu.

Saya menyarankan supaya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merapoh proaktif membangunkan kawasan sekitar stesen minyak miliknya sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), mesin pengeluaran wang automatik (ATM), restoran, gerai makan, cenderamata dan kraf tangan.

PPK juga boleh membangunkan kawasan tersebut dengan lebih terancang bagi menarik bas-bas ekspres berhenti di kawasan itu seterusnya dapat membantu penduduk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Pusat sehenti itu dapat memberi peluang kepada ahli-ahlinya berniaga bagi memasarkan pelbagai produk pertanian, makanan, makanan ringan, kraftangan dan sebagainya.

Selain peluang pertanian dan perniagaan makanan, apa lagi peluang lain yang ada bagi membantu penduduk Merapoh meningkatkan pendapatan mereka?

Pembinaan kilang simen hasil usahasama kerajaan negeri dengan sebuah syarikat swasta yang akan beroperasi tahun depan dapat memberikan 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Merapoh dan kawasan sekitarnya.

Projek kilang simen di kawasan seluas 400 hektar yang menelan kos RM1 bilion itu dijangka menyebabkan jumlah penduduk terus meningkat selepas ini.

Selain kilang itu, kerajaan juga menaik taraf kemudahan asas lain membabitkan peruntukan sebanyak RM11.4 juta untuk mewujudkan Bandar Baru Merapoh berasaskan pembangunan sektor pertanian dan pelancongan.

Tempias projek kilang simen dan pembangunan berkenaan akan turut dinikmati oleh penduduk Kampung Mentara Baru, Kampung Telok Gunung, Perkampungan Orang Asli di Bencah Kelubi dan Gua Musang.

Saya yakin projek kilang simen dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan memberi peluang pekerjaan dan melahirkan ramai usahawan tempatan dan secara tidak langsung dapat mengelak belia berhijrah ke tempat lain kerana sudah ada pekerjaan di sini.

Boleh Datuk memperincikan peruntukan RM11.4 juta itu untuk membangunkan Merapoh sebagai bandar baru?

Peruntukan itu adalah untuk projek pembangunan dan kemudahan asas luar bandar bagi menjadikan Merapoh sebagai pusat pertumbuhan bandar baru di daerah Lipis.

Peruntukan pembangunan itu merangkumi pelancongan, pendidikan, pertanian dan PKS.

Daripada jumlah tersebut, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi membina bangunan tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapoh.

Sebanyak RM3 juta untuk menaik taraf Pusat Pelancongan Kem Relau dan RM1 juta lagi untuk projek membina jambatan Sungai Merapoh di Laluan Lapan dari bandar Lipis ke Merapoh.

Selebihnya, RM1.4 juta untuk projek kemudahan asas di luar bandar iaitu membina dan menaik taraf jalan kampung, perparitan, balai raya, jambatan kecil, masjid dan kedai untuk manfaat kira-kira 5,000 penduduk Merapoh.

Projek tersebut juga memberi manfaat secara tidak langsung kepada penduduk Kampung Mentara Baru, Telok Gunung dan perkampungan Orang Asli di Bencah Kelubi.

Kerajaan negeri berusaha mencorakkan ekonomi penduduk tempatan menerusi bidang perniagaan dengan membina enam unit kedai PKS dan gerai buah-buahan membabitkan peruntukan sebanyak RM400,000 di bawah penyelenggaraan Majlis Daerah Lipis (MDL) tahun ini.

Projek ini bersesuaian dan agak strategik kerana Merapoh sering menjadi tempat persinggahan kenderaan dari Lembah Klang ke Kelantan dan penduduk dapat memasarkan hasil kampung termasuk buah-buahan.

Bagaimana usaha dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Taman Rimba Kenong dan Relau?

Projek menaik taraf Kem Relau juga membabitkan pembesaran calet, jalan tar, pejabat pentadbiran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi meningkatkan jumlah pelawat ke Merapoh dan daerah Lipis.

Kerajaan mengutamakan kemudahan logistik di sini di samping menggalakkan produk kampung berasaskan pertanian kerana Merapoh berpotensi menjadi bandar baru yang menjadi tumpuan penduduk Gua Musang dan bandar Lipis berbelanja.

Saya berharap penduduk tempatan tidak menjual tanah kepada orang luar kerana Merapoh bakal pesat membangun dalam tempoh dua tahun lagi apabila semua kemudahan prasarana luar bandar siap untuk merancakkan pertumbuhan sektor pertanian dan pelancongan.

Selain itu, projek menaik taraf jalan raya dari Relong ke Merapoh dan jalan alternatif dari Bukit Kota melalui Aur Gading ke Chegar Perah bakal menjana Merapoh sebagai pusat bandar baru di daerah Lipis.

Apakah kewujudan projek kilang simen di Merapoh dan projek cari gali bijih besi di Sungai Temau dan projek perumahan di Padang Tengku tidak akan menggugat dan mencemar kawasan pelancongan Taman Rimba Kenong dan Relau?

Kerajaan sentiasa berhati-hati ketika merangka pelan pembangunan di Padang Tengku dan juga di seluruh daerah Lipis amnya dalam usaha memajukan kawasan luar bandar yang berdekatan pusat pelancongan berkenaan.

Dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa habitat flora dan fauna di hutan rekreasi itu telah musnah adalah tidak benar sama sekali kerana kerajaan sentiasa merancang dengan teliti pembangunan di kawasan tersebut.

Keindahan Taman Rimba Kenong dan Merapoh masih dijaga dan kerajaan negeri amat berhati-hati dalam mencorak pembangunan di kawasan ini kerana kemusnahan hutan boleh menjejaskan bidang pelancongan di sini.

Kawasan itu telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air untuk penduduk Lipis dan keseimbangan ekosistemnya masih terpelihara dengan baik.

Kerajaan negeri tidak akan mengusik kehijauan Taman Rimba Kenong, Merapoh dan kawasan di Seberang Sungai Jelai walaupun rancangan pembangunan sedang rancak diusahakan.

Projek itu dilaksanakan untuk kepentingan penduduk tempatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Apakah usaha yang dilakukan bagi memastikan jalan raya Lipis-Merapoh sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya dan orang ramai serta tragedi tujuh tahun lalu tidak berulang lagi?

Bagi memastikan keselamatan para pengguna jalan raya dan penduduk kawsan sekitar Merapoh, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM82 juta untuk menaik taraf jalan penghubung utama dari daerah Lipis ke Kelantan pada tahun ini.

Jalan penghubung itu bermula dari Kampung Relong ke Merapoh sejauh 80 kilometer yang boleh menjadi jalan pintas kenderaan khususnya dari Lembah Kelang ke negeri berkenaan.

Jumlah itu adalah daripada peruntukan keseluruhan sebanyak RM104 juta apabila RM22 juta lagi digunakan untuk menaik taraf beberapa jalan alternatif di Hulu Jelai, Padang Tengku.

Projek itu membabitkan pelebaran jalan, memotong kawasan cerun, selekoh merbahaya dan hentian rehat untuk keselamatan pengguna serta kenderaan yang berulang-alik antara Kelantan dan Lembah Klang di daerah Lipis.

Kerja-kerja memotong cerun dan membaiki kawasan selekoh khususnya di Bukit Tujuh berdekatan Kampung Pagar Sasak, Felda Chegar Perah hingga ke Merapoh akan diberi keutamaan kerana kawasan itu kerap mengalami kemalangan maut khususnya ketika musim perayaan.

Projek itu merupakan peruntukan terbesar kerajaan untuk sambungan projek laluan lapan yang bermula dari daerah Bentong dan Raub ke Lipis sejak beberapa tahun lalu.

Projek pembinaan jalan-jalan alternatif pula bermula dari Kampung Bukit Kapal melalui Aur Gading hingga ke Chegar Perah sejauh 20 kilometer.

Jalan ini merupakan laluan alternatif kenderaan dari Sungai Koyan melalui beberapa perkampungan di Hulu Jelai hingga ke Chegar Perah dan memasuki Merapoh.

Laluan ini yang boleh mempercepatkan waktu perjalanan dan mengurangkan kesesakan kenderaan khususnya ke Kelantan dan Lembah Kelang.

Kerajaan juga sedang merancang membina projek jalan sejauh 10 kilometer dari Kampung Chegar Perah ke Felda Chegar Perah melalui ladang kelapa sawit yang masih menggunakan laluan tanah merah sejak pasca merdeka lagi.

Projek jalan alternatif Bukit Kapal-Aur Gading-Chegar Perah bakal memberi manfaat kepada seramai 15,000 penduduk yang tinggal di pesisiran Sungai Jelai dan Hulu Jelai.

Pembinaan jalan tersebut membolehkan penduduk untuk mempercepatkan pasaran hasil kampung dan memberi kemudahan anak ke sekolah serta menggalakkan pertumbuhan kawasan baru berasaskan agropelancongan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban