Pasukan petugas khas ditubuh

Pasukan petugas khas ditubuh

SERDANG 26 Nov. - Satu pasukan petugas khas akan dibentuk bagi menyiasat penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Menurut beliau, kerjasama itu melibatkan kementeriannya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, arahan penubuhan itu diambil selepas beliau berbincang isu kepakaran kementeriannya menyiasat perkara itu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed hari ini.

"Saya sempat berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebentar tadi mengenai siasatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dan kita akan menubuhkan pasukan petugas khas bersama SPRM dan KPDNKK untuk menyiasat dan membendung gejala tersebut.

"Kementerian ini tiada kepakaran untuk menyiasat. Oleh itu, saya berharap pasukan ini dapat mengenalpasti kelemahan yang boleh menyebabkan salah guna dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan tengah hari bersama media dan melawat hari pertama pembukaan tapak Pameran Pertanian, Horikultur dan Argo-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di sini hari ini.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel subsidi nelayan sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Seramai 19 individu dilaporkan ditahan di seluruh negara sehingga 23 November lalu kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan tersebut dalam operasi besar-besaran sejak Jun lalu.

Seramai 13 individu lagi ditahan kelmarin berikutan pembabitan mereka dalam siasatan penyelewengan tersebut sementara pihak syarikat minyak pula diberi tanggungjawab menghantar diesel bersubsidi ke jeti.

Dalam pada itu, Noh berharap, pasukan baru itu dapat mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam sebarang penyelewengan serta mencari cara terbaik mengatasi masalah yang mungkin dapat dikenalpasti oleh SPRM dan KPDNKK.

"Ini dapat membantu kita mengetatkan peraturan dan prosedur sedia ada, seterusnya mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan," tegasnya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban