PM lancar MAHA 2010 hari ini

PM lancar MAHA 2010 hari ini

SERDANG 26 Nov. - Hari pertama Pameran Pertanian, Horikultur dan Argo-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) menyaksikan lebih 50,000 pengunjung membanjiri tapak pameran seluas 50 hektar itu di sini sehingga pukul 1 tengah hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, jumlah tersebut belum termasuk jumlah pengunjung sebelah petang dan malam dan dijangka akan meningkat lebih tinggi lagi selepas majlis pelancaran MAHA 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

"Kita menjangkakan lebih ramai pengunjung esok beserta ramai kenamaan yang pastinya tidak dapat menghabiskan lawatan di seluruh tapak pameran serta 2,500 gerai jualan dalam masa satu hari sahaja.

"Walaupun lebih 7,000 tapak meletak kereta disediakan, mereka yang ingin mengunjungi MAHA 2010 dinasihatkan mendengar radio atau membaca maklumat di akhbar mengenai laluan di sini bagi mengelakkan kesesakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan tengah hari bersama media dan melawat hari pertama pembukaan tapak MAHA 2010 yang akan berlangsung sehingga 5 Disember ini, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan wakil Gabenor Sulawesi Barat, Profesor Dr. Sikstus Gusli.

MAHA 2010 dijangka dikunjungi lebih 1.5 juta orang dalam 10 hari akan datang berbanding 1.2 juta pada 2008 sementara jualan tunai dijangka mencapai RM15 juta (RM9.69 pada MAHA 2008) dan pemadanan jualan berjumlah RM150 juta berbanding RM133 juta dua tahun lalu.

Selain lapan laman pertanian melibatkan padi, bunga, nanas, sayur, perikanan, ternakan, kejenteraan pertanian serta herba (ramuan), MAHA 2010 turut mencatatkan rekod penyertaan 22 negara luar termasuk Korea, China, Indonesia, Thailand, United Kingdom dan Syria.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan MAHA 2010 telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk penyertaan antarabangsa terbesar, termasuk delegasi dari kepulauan Sulawesi yang berjumlah 300 orang pagi ini.

"Kita juga menjemput orang ramai menghadiri malam Sulawesi pada malam esok untuk menyaksikan sendiri budaya, produk dan hasil tanaman pertanian penduduk di sana," katanya.

Beliau turut memaklumkan media Indonesia yang hadir bahawa kerajaan Malaysia hanya membelanjakan RM4.6 juta untuk penganjuran MAHA 2010 manakala bakinya ditampung sektor swasta.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban