Selesaikan isu air secepat mungkin

Selesaikan isu air secepat mungkin - FOMCA




















PETALING JAYA 26 Nov. - Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) perlu berbincang dan mencapai kata sepakat secepat mungkin bagi memastikan negeri itu tidak berdepan dengan krisis air pada masa depan.

Presiden Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, pertikaian demi pertikaian yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan rakyat.

"Ini bukan isu siapa menang siapa kalah dalam perlawanan melibatkan Menteri Besar dengan Pengerusi Syabas. Ini isu rakyat Selangor sebagai pengguna air di negeri ini.

"Ia juga tentang kepercayaan. Jika kita tidak percaya kepada orang sendiri, kepada siapa kita hendak percaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berdialog dalam Forum Air Selangor Tiga Penjuru bertajuk Water Demand Management anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan), di sini hari ini.

Turut hadir sebagai ahli panel, Pengarah Kajian, Pembangunan dan Inovasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Marzuki Mohamad; Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir. Hanapi Mohamad Nor; Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir. Lee Miang Koi dan wakil dari Malaysian Nature Society, James Cherian.

Marimuthu menambah, cadangan Syabas untuk menaikkan tarif air tidak perlu dipolitikkan kerana ia merupakan satu keperluan yang harus disegerakan.

Kenaikan kadar tarif air ini, jelasnya, perlu dilaksanakan demi menampung kos operasi untuk menjamin pembekalan air yang berkualiti serta berterusan di Selangor.

"Jika benar kerajaan negeri pentingkan rakyat, selesaikan masalah ini secepat mungkin supaya krisis air yang dijangka berlaku pada 2012 tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir. Lee Miang Koi turut berkongsi beberapa fakta dengan peserta forum termasuk kadar purata penggunaan air domestik di Malaysia yang meningkat secara drastik sehingga 3.5 peratus setahun.

Jelasnya, penggunaan air per kapita di Malaysia secara relatifnya sangat tinggi berbanding di negara lain.

"Misalnya, pada 2008, seorang rakyat di negara ini secara purata menggunakan 205 liter air sehari, jauh lebih tinggi berbanding kadar purata negara dunia iaitu 180 liter sehari.

"Penggunaan air per kapita ini boleh dikawal melalui penstrukturan semula tarif kerana ia boleh mendidik rakyat yang gemar membazir," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban