Tindakan hina mahkamah atas saksi

Mohon tindakan hina mahkamah atas saksi






























KUALA LUMPUR 23 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini supaya seorang pakar patologi forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Ketua Pembangkang tersebut buat kali keduanya turut membuat permohonan agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah digugurkan daripada mendengar kes liwatnya itu.

Anwar melalui peguam bela utamanya, Karpal Singh mengemukakan permohonan menghina mahkamah ke atas saksi pendakwa ketiga, Dr. Siew Sheue Feng yang didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana mencampuri pentadbiran kehakiman.

Ini berikutan tindakan saksi tersebut merujuk kepada borang protokol perubatan (proforma) yang diisi sebelum memeriksa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008 sewaktu prosiding mahkamah berhenti seketika.

Hakim Mohamad Zabidin akan membuat keputusan berhubung permohonan itu esok selepas selesai mendengar hujah Karpal dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Dr. Sheue Feng sedang memberi keterangan pada sesi soal balas dalam perbicaraan kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap bekas pembantu peribadinya yang masuk hari ke-29 hari ini.

Dalam hujahnya, Karpal menyatakan, saksi tersebut mengakui telah merujuk proforma untuk menyegarkan semula ingatannya setelah dokumen itu dibangkitkan oleh pasukan pembelaan semasa sesi soal balas.

Walhal, katanya, Dr. Sheue Feng enggan mengemukakan atau merujuk kepada dokumen tersebut ketika disoal balas oleh beliau, sekalipun tidak dapat mengingati isi kandungannya.

Karpal menegaskan, Dr. Sheue Feng tidak sewajarnya merujuk kepada dokumen tersebut kerana meskipun prosiding sedang berhenti rehat, beliau masih lagi terikat sebagai saksi pada peringkat sesi soal balas kerana telah mengangkat sumpah di mahkamah.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam itu, saksi tersebut mengakui melihat borang proforma yang mengandungi data Mohd. Saiful Bukhari bagi mengingatkan semula ingatannya semasa prosiding ditangguhkan seketika.

Proforma merupakan borang yang mengandungi soalan-soalan berkaitan butiran-butiran peribadi dan kejadian yang perlu diisi oleh doktor yang mengendalikan kes-kes serangan seksual.

Sementara itu, Mohd. Yusof membantah permohonan tersebut dengan alasan tiada peruntukan perundangan yang menyekat seseorang saksi daripada melihat nota yang dihasilkannya semasa prosiding berhenti rehat.

Dalam hal ini ujar beliau lagi, nota yang dirujuk oleh saksi itu adalah nota yang disediakan sendiri oleh pakar itu dan sentiasa berada dalam pemilikannya, bukan sesuatu yang diberikan oleh pihak pendakwaan untuk dibacanya.

''Jadi apa yang ingin dinyatakan ialah biarkan dia (saksi) merujuk dokumen itu. Kami tidak mahu menukar perbicaraan ini daripada ujian kebenaran kepada ujian untuk menguji memori.

''Namun sebaik sahaja seseorang itu memasuki kandang saksi maka dia mesti mematuhi peraturan,'' tegas beliau.

Ini merupakan permohonan kedua Anwar untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah dengan kali pertama terhadap akhbar Utusan Malaysia tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Terdahulu, Karpal memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diarahkan oleh anak guamnya untuk mengemukakan permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin digugurkan daripada mendengar kes itu.

Karpal menyatakan, permohonan itu dibuat dengan alasan hakim tersebut telah menyalah tafsir peruntukan Seksyen 45 Akta Keterangan dalam keputusannya semalam.

Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar semalam setelah mendapati beliau gagal memenuhi keperluan perundangan untuk membolehkan mahkamah mengarahkan pasukan pendakwaan membekalkan nota-nota klinikal tersebut kepada pihak pembelaan.

Menurut Karpal, alasan hakim tersebut tidak sejajar dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1993 yang menyatakan bahawa setiap saksi pakar dimestikan menunjukkan dokumen yang dijadikan asas kepada kesimpulannya.

Ujar peguam bela itu, beliau akan memfailkan permohonan tersebut pagi esok. Berikutan itu, pasukan pembelaan memohon menangguhkan prosiding hari ini tetapi tidak diterima oleh mahkamah.

Anwar sebelum ini pernah mengemukakan permohonan untuk menggugurkan hakim tersebut tetapi ditolak oleh Hakim Mohamad Zabidin dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban