Pantai Timur AS sedia hadapi ribut salji

Pantai Timur AS sedia hadapi ribut salji

WASHINGTON 26 Dis. - Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia menghadapi ribut salji hari ini, ketika berjuta-juta penduduk AS membuat persiapan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas mengunjungi keluarga dan rakan untuk sambutan Krismas.

Perkhidmatan Cuaca Negara (NWS) mengeluarkan amaran ribut musim sejuk di kawasan pantai timur AS sepanjang 1,600 kilometer, dari Georgia sehingga ke Vermont.

Salji tebal diramal bagi kawasan New York dan Boston mulai hari ini sehingga ke malam, dengan suhu waktu malam sekitar tujuh darjah Celsius di bawah paras beku dan angin selaju 48 kilometer sejam.

Washington menghadapi kemungkinan salji setebal 25 sentimeter hari ini.

Krew pembersih salji diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di kawasan sekitar ibu negara AS ini.

"Kami memantau laporan kaji cuaca seperti orang lain, tetapi kami tidak akan mengetahui situasi yang bakal kami hadapi sehinggalah salji mula turun," kata jurucakap Lembaga Lapangan Terbang Metropolitan Washington, Courtney Mickalonis.

Sungguhpun sekolah di kawasan Washington tutup untuk cuti musim sejuk antara Krismas hingga Tahun Baru, ribut salji akan memburukkan keadaan bagi mereka yang hendak ke tempat kerja esok.

"Salji tebal dijangka turun di kawasan Washington, menjadikan perjalanan sangat berbahaya atau tidak boleh diteruskan," kata NWS.

Ais dan salji sudah pun menghalang lalu lintas di darat di beberapa negeri di tenggara AS, termasuk kawasan pergunungan di utara Georgia di mana salji setebal 15 sentimeter dilaporkan semalam.

Asheville di North Carolina mengalami salji tebal 17 sentimeter, dan jabatan pengangkutan negeri itu melaporkan sebahagian lebuh raya diliputi salji dan ais.

Delta Air Lines semalam berkata, pihaknya telah membatalkan 500 penerbangan di seluruh negara disebabkan ribut.

Pembatalan itu termasuk 300 daripada 800 penerbangan dari hab Delta di Atlanta, yang teruk terjejas akibat dilanda ribut. - AFP

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban