Pengumpul barang antik China dominasi lelongan di Paris

Pengumpul barang antik China dominasi lelongan di Paris

































PARIS 26 Dis. - Pengumpul barangan antik dari China mendominasi majlis lelongan di Hotel Drouot, di sini sepanjang bulan ini bagi mendapatkan barangan yang digunakan ketika pemerintahan empayar maharaja China satu ketika dahulu.

Pada 14 Disember lalu, pasu dari era Dinasti Qing (1644-1911) berjaya dijual dengan harga AS$7.2 juta (RM22.28 juta) iaitu nilai tertinggi yang pernah dilelong tahun ini.

Pasu yang tertulis tanda Maharaja Yongzheng (1723-1735) itu dipercayai bernilai AS$1.9 juta (RM5.88 juta) tetapi berjaya dijual berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding harga asalnya.

Syarikat lelongan Christie's cawangan Perancis pula berjaya menjual bekas menyimpan berus gigi diperbuat daripada batu jed dari zaman Dinasti Qing dengan harga AS$4.32 juta (RM13.37 juta), lebih tinggi dari asalnya yang dianggarkan berjumlah hanya AS$262,340 (RM812,073).

Syarikat lelongan Sotheby's berjaya menjual barangan antik Buddha yang wujud sejak zaman pemerintahan Maharaja Qianlong (1736- 1795) kepada seorang peniaga Hong Kong dengan harga AS$772,000 (RM2.4 juta) iaitu sepuluh kali ganda daripada nilai sebenarnya.

"Masyarakat China sangat menghargai hasil seni antik dari negara mereka yang cuba dihapuskan semasa Revolusi Budaya," kata Presiden Christie's Perancis, Francois de Ricqles.

Pergerakan Revolusi Budaya yang berlanjutan selama 10 tahun dari 1966 sehingga kematian pemimpinnya, Mao Zedong pada 1976, menyaksikan kempen besar-besaran untuk memusnahkan warisan China.

Lelongan barangan antik dari negara Asia kini merupakan pendapatan ketiga tertinggi kepada Sotheby's Perancis yang menerima keuntungan sebanyak AS$34 juta (RM105.25 juta) tahun ini sahaja.

"Banyak barangan antik dan warisan Asia ada di Eropah. Pada kurun ke-19 dan ke-20, wujud minat yang ketara terhadap hasil seni ini," kata Presiden Sotheby's Perancis, Guillaume Cerutti. - AFP

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban