Ali Hashim letak semua jawatan

Ali Hashim letak semua jawatan























KUALA LUMPUR 12 Jan. - Tan Sri Muhammad Ali Hashim (gambar) hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi dan pengarah di kesemua enam syarikat dalam Kumpulan Johor Corporation (JCorp) berkuatkuasa serta merta.

Peletakan jawatan itu membabitkan kedudukan beliau sebagai pengerusi dan pengarah di membabitkan Kulim (M) Bhd. (Kulim), Damansara Realty Bhd. (Damansara Realty), KPJ Healthcare Bhd. (KPJ), QSR Brands Bhd., KFC Holdings (M) Bhd. (KFCH) dan KPJ Al Aqar REIT Bhd. (KPJ Al Aqar).

Utusan Malaysia difahamkan surat perletakan jawatan itu diserahkan kepada JCorp dan syarikat-syarikat terbabit pada pukul 12 tengah hari tadi.

''Saya membuat keputusan setelah berpendapat semua hasrat utama telah dicapai ketika melepaskan jawatan selaku Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada 29 Julai tahun lalu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Ali sepatutnya menghadiri tiga EGM bermula dengan EGM Kulim pada Isnin ini, sebelum Damansara Realty pada 21 Januari dan KPJ Healthcare pada 26 Januari untuk menghadapi usul penyingkiran beliau daripada anak-anak syarikat JCorp.

Katanya, hasrat beliau itu telah dicadangkan dan diberikan secara bertulis kepada Pengerusi dan Lembaga Pengarah JCorp.

Mengulas lanjut, Muhammad Ali berkata, hasrat beliau itu adalah mengelakkan JCorp melantik eksekutif dari luar memegang jawatan Presiden dan Ketua Eksekutif, menangani isu penjualan aset dan perniagaan strategik secara paksa bagi melunaskan hutang sebanyak RM3.6 bilion dan memastikan masyarakat Melayu dan sektor korporat mengetahui apa yang sedang berlaku dalam JCorp.

Selain itu, tindakan itu diambil bagi mengelakkan kewibawaan dan nama baik JCorp terus terjejas dan paling penting tidak mahu mewujudkan situasi serba-salah di kalangan rakan seperjuangan yang masih menerajui anak-anak syarikat kumpulan JCorp.

Mengulas lanjut Muhammad Ali yang berkhidmat dengan JCorp selama 28 tahun berkata, beliau kini lega kerana Kamaruzzaman Abu Kassim dilantik sebagai pengganti, antara calon yang dicadangkannya.

''Saya mengakui saya bimbang sekiranya pelantikan pemimpin JCorp dibuat di kalangan orang luar kerana JCorp adalah sebuah organisasi yang sangat kompleks, justeru, saya berpandangan hanya pengurusan atasan yang bersama-sama membina JCorp layak berada di kedudukan itu.

''Saya juga bersyukur apabila QSR selamat daripada dijual ketika mendapat tawaran daripada Tan Sri Halim Saad, Carlyle Group dan KUB Bhd.

''Isu ini telah mendapat perhatian semua pihak yang mahukan QSR dikekalkan dan JCorp sebagai pemegang saham utama perlu mengambil perhatian terhadap pandangan orang Melayu dalam isu ini,'' katanya.

Katanya, paling penting sekali, beliau tidak rela dan tidak mahu menyaksikan situasi yang menyukarkan rakan-rakan seperjuangan kerana terpaksa membuat keputusan (penyingkiran) sehingga mengakibatkan silaturrahim antara mereka terjejas.

Muhammad Ali berharap tindakan dan keputusan yang diambil untuk meletakkan jawatan tidak dijadikan isu, kerana apa yang perlu diteruskan adalah perjuangan JCorp yang berlandaskan Jihad Bisnes.

''Selaku bekas Presiden dan Pengarah syarikat-syarikat berkaitan, saya telah menjalankan amanah dengan cara terbaik dan sudah tiba masanya saya menyerah kembali amanah kepada pengganti saya,'' tambah beliau.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban