Mangsa Dera: Kakak Qistina masuk hospital

Dera: Kakak Qistina masuk hospital



















JOHOR BAHRU 12 Jan. - Nur Dania Batrisha Nurafizan, 5, kakak kepada kanak-kanak mangsa dera yang meninggal dunia Ahad lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini malam tadi kerana dipercayai turut menjadi mangsa dera.

Selain Nur Dania Batrisha, adiknya, Danish Irsyad, setahun, juga ditempatkan di HSA sejak Ahad lalu kerana mengalami nasib yang sama dipercayai dilakukan oleh bapa dan ibu tiri mereka.

Ibu mangsa, Nur Aquilla Razali, 27, berkata, keadaan dua anaknya kini semakin stabil namun mereka tidak dibenarkan keluar hospital kerana masih perlu menerima rawatan.

"Anak-anak saya semakin ceria dan kesan lebam serta luka di tubuh mereka juga menunjukkan tanda-tanda pulih. Sekarang mereka masih ditahan dan tidak tahu bila dibenarkan pulang.

"Saya akan menjaga mereka selepas pulang. Saya dan suami sedang dalam proses permohonan untuk bercerai," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lalu, Nur Dania Qistina, 3, meninggal dunia dengan kesan 73 kesan lebam dan luka kerana dipercayai didera bapa dan ibu tirinya di Kampung Sungai Tiram di sini.

Utusan Malaysia difahamkan, bukan sahaja tiga beradik malang itu didera tetapi Nur Aquilla turut didera sejak setahun lalu sehingga tidak boleh berjalan selama dua bulan.

Tiga beradik itu sebelum ini tinggal bersama datuk mereka di Felda Tenggaroh 6, Mersing dan bapanya mengambil mereka tanpa kebenaran pada November lalu untuk tinggal bersamanya.

Nur Aquilla yang bekerja sebagai akauntan dan tinggal di Pasir Gudang pernah membuat beberapa laporan kepada pihak polis dan pejabat agama tetapi suaminya tidak pernah dikenakan tindakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kes Nur Dania Batrisha dan Danish Irsyad akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ditanya status bapa kanak-kanak itu dan ibu tirinya yang didakwa belum bernikah dan bersekedudukan, Roslan berkata, perkara itu tidak termasuk dalam proses siasatan.

"Siasatan kita tidak menjurus kepada perkara ini (status pasangan tersebut) dan kita tidak menerima apa-apa (dokumen atau sijil pernikahan mereka)," katanya.

Katanya, bapa dan ibu tiri mangsa dera itu telah ditahan di Felda Tengggaroh 6, Mersing pukul 10 malam dan pasangan tersebut direman sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban