Md. Zaki hadapi tiga lagi pertuduhan - rasuah

Md. Zaki hadapi tiga lagi tuduhan selepas membabitkan rasuah RM55,300




















































KUALA LUMPUR 12 Jan. - Selepas menghadapi tuduhan rasuah membabitkan RM55,300 minggu lalu, bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., di Pasir Gudang, Johor, Md. Zaki Othman hari ini didakwa lagi atas tuduhan serupa di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Di ibu negara, dia didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah dua utas jam tangan bernilai RM92,980 daripada seorang kontraktor, dua tahun lalu.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pula, Md. Zaki berhadapan dengan tuduhan meminta suapan RM30,600 daripada kontraktor yang sama bagi bayaran tiga set perabot rumah.

Bagi ketiga-tiga tuduhan tersebut, lelaki berusia 48 tahun itu yang diwakili peguam T. Vijaya Sandran mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pada 3 Januari lalu, Md. Zaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,300 kerana membantu meluluskan dan mempercepatkan satu kontrak bernilai RM23.9 juta.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozilah Salleh, tertuduh didakwa meminta suapan seutas jam tangan jenama IWC bernilai RM32,980 daripada kontraktor terbabit.

Suapan itu didakwa sebagai upah membantu kontraktor tersebut memperoleh Surat Anugerah bagi subkontrak projek Kumang & Tenaga Barat Cluster Development (Fasa 1).

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di pejabat syarikat The Hour Glass Sdn. Bhd. Lot G1, Ground Floor, Lot 10 SC Jalan Sultan Ismail di sini antara pukul 1.30 petang hingga 2.30 petang, 13 Mac 2009.

Bagi tuduhan kedua pula, Md. Zaki didakwa bersetuju menerima seutas jam tangan Hublot bernilai RM60,000 daripada individu yang sama di tempat tersebut pada pukul 10 pagi, 15 Mei 2009.

Perbuatan itu didakwa dilakukan untuk membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan berhubung satu kontrak yang dijalankan oleh Sime Darby Engineering Sdn. Bhd serta membantu syarikat terbabit memperoleh Surat Anugerah bagi projek tersebut.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hizwen Azleen Othman Kamal mengikut Seksyen 10(a)(A) dan 17(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 11 Februari ini.

Beberapa jam selepas itu, Md. Zaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan meminta suapan RM30,600 daripada kontraktor yang sama bagi bayaran satu set sofa, satu set meja makan dengan permukaan marmar dan satu unit kerusi Cleopatra.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuknya membantu kontraktor berkenaan mendapatkan Surat Hasrat bertarikh 11 Januari 2008 bagi projek EPCIC for MOQ, Package 16, BE Process & BG Platforms yang bernilai RM23,901,959 untuk syarikatnya.

Dia yang ketika itu memegang jawatan Pengurus Besar Operasi Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., didakwa melakukan perbuatan tersebut di Europe Asia Furniture Expo Sdn. Bhd., No. 15A, Jalan Universiti, Petaling Jaya dekat sini pada 28 November 2009.

Dakwaan tersebut dikemukakan oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah mengikut Seksyen 10(a)(aa) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.

Bagi setiap tuduhan yang dihadapinya, bapa kepada empat anak itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Md. Zaki dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindah dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban