Penyelidik muda unggul di Vietnam

Penyelidik muda unggul di Vietnam



















SEBAHAGIAN daripada penyelidik muda UniMAP bersama piala
dan sijil yang diterima pada pertandingan penyelidik muda dan
pameran antarabangsa kali-7 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam,
baru-baru ini.



TUJUH penyelidik muda ENVEX Young Researcher Club (EYReC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas penyelidikan antarabangsa apabila membolot enam pingat emas dan satu pingat gangsa serta empat anugerah khas pada pertandingan penyelidik muda dan pameran antarabangsa kali-7 (7th IEYI 2020) di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Profesor Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan generasi penyelidik muda itu merupakan bukti nyata bahawa aspek penyelidikan dan inovasi diterapkan di peringkat akar umbi di UniMAP.

"Sebagai bukti, produk penyelidikan bersama makmal penyelidikan bahan sensor UniMAP dan Sekolah Menengah Sains Tuanku (SMS) Syed Putra membabitkan peserta termuda, Nooraishah Zul-Qarnain meraih pingat emas dan dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas International Best Invention, Hong Kong dan Anugerah Utama IEYI 2010 iaitu pingat emas World Intellectual Property Organization (WIPO).

"Nooraishah meraih kedua-dua anugerah berkembar itu melalui produknya Conducting Polymer Sensor For Fertigation Control In Green House.

"Ini merupakan pertandingan antarabangsa pertama yang disertai siswa UniMAP. Selepas ini, kita akan mendedahkan mereka dengan lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa bagi memartabatkan lagi bidang penyelidikan dan inovasi di kalangan generasi muda," katanya.

Pertandingan dan pameran 7th IEYI 2010 berlangsung pada 16-18 Disember lalu membabitkan 800 penyelidik muda dari seluruh dunia yang mempertaruhkan hanya 30 pingat emas.

Delegasi UniMAP diketuai, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Mohd. Mustaffa Al-Bakri Abdullah dan Guru Pengiring SMS Tuanku Syed Putra, Datin Noridah Yangman.

Pameran ini merupakan pameran tahunan dan kali ini dianjurkan oleh Vietnam Fund For Supporting Technological Creations (VIFOTEC).

Selain UniMAP, Malaysia turut diwakili oleh Malaysian Invention & Design Society (MINDS) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang masing-masing mempertaruhkan dua dan empat produk.

Menurut Mohd. Mustaffa, pingat emas UniMAP diraih Noor Manshora Abd Subhan, Kok Jken Vui, Siti Kamilah Abd Rahman, Hanis Azimah Mohd Bokeri, Nur Safura Mohd Ali dan Nooraishah Zul-Qarnain manakala pingat gangsa disumbangkan oleh Nur Amirah Liyana Baharin.

Beliau berkata, di samping pencapaian pingat emas tertinggi, penyelidik EYReC-UniMAP juga menggondol empat anugerah khas. Anugerah tersebut ialah Anugerah Khas Japan Institute Invention & Innovation (JII) bagi produk Plast Shared Paper Composite oleh Hanis Azimah Mohd. Bokeri dan Anugerah Khas VIFOTEC, Vietnam untuk penyelidikan Production Of Bioethanol From Paddy Straw oleh Nur Safura Mohd. Ali.

"Sesungguhnya, kejayaan ini sangat bererti buat penyelidik muda UniMAP. Dengan sumbangan enam pingat emas EYReC-UniMAP membolehkan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 12 pingat emas diikuti Taiwan lapan pingat emas dan Filipina di tempat ketiga dengan empat pingat emas," katanya.

Majlis penyampaian hadiah IEYI 2010 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Thien Nhan.

IEYI edisi ke-8 akan diadakan pada Februari 2012 di Bangkok, Thailand.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban