SPRM sedia teliti masalah peniaga di Bazar Tok Guru

SPRM sedia teliti masalah peniaga di Bazar Tok Guru

KOTA BHARU 17 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia meneliti sama ada wujud penyelewengan dalam masalah membabitkan urusan perpindahan peniaga-peniaga Pasar Arked Lambok Uda dan Pasar MPKB ke Bazar Tok Guru di sini yang masih dalam pembinaan.

Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Nor berkata, pihaknya akan meneliti sama ada berlaku penyelewengan dalam masalah tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Beliau berkata, SPRM akan membuka kertas siasatan jika wujud penyelewengan atau salah guna kuasa dalam perkara tersebut.

Bagaimanapun, jelas beliau, sehingga kini, SPRM masih belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung masalah tersebut sebagaimana dilaporkan oleh media massa.

"Kalau ada unsur rasuah, kita akan masuk, setakat ini belum ada aduan secara rasmi. ''Bagaimanapun, kita akan tengok kalau ada penyelewengan, kita tentu akan masuk (siasat) sampai selesai.

"SPRM tidak boleh masuk macam itu sahaja, perlu ada sebab dan bukti yang konkrit," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya SPRM melakukan penyiasatan berhubung masalah membabitkan urusan perpindahan peniaga terbabit ke Bazar Tok Guru.

Mustapa berkata, siasatan itu perlu bagi memastikan tidak ada penyelewengan berlaku sehingga timbul bantahan daripada peniaga di situ terhadap kerajaan Pas Kelantan yang didakwa tidak menepati janji mereka sebelum ini.

Pada 15 Januari 2010, pembinaan Bazar Tok Guru itu menimbulkan kontroversi apabila kerajaan Pas Kelantan dilaporkan menanggung kerugian dikatakan melibatkan kira-kira RM50 juta apabila terpaksa menebus balik bangunan tersebut daripada pemaju swasta.

Menurut Nasaruddin, tempoh siasatan yang akan dijalankan oleh SPRM bergantung kepada kes dan kebiasaannya ia mengambil masa antara seminggu hingga tiga bulan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban