TNB meterai janji RM2.14b projek hidro elektrik

TNB meterai janji RM2.14b projek hidro elektrik

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah memeterai dua perjanjian bagi projek pembinaan hidroelektrik di Ulu Jelai; dekat Tanah Tinggi Cameron; Pahang dengan nilai keseluruhannya berjumlah kira-kira RM2.14 bilion dan dijangka siap pada tahun 2016.

TNB dalam kenyataannya di sini memberitahu, projek itu melibatkan pembinaan sebuah empangan dan pemasangan dua turbin hidro serta janakuasa di stesen janakuasa bawah tanah berkeupayaan membekal tenaga 372 megawatt (MW).

Projek itu terdiri daripada Empangan Susu di Sungai Bertam yang membawa aliran air dari Sungai Lemoi dan Sungai Telom melalui benteng lencongan air ke terowong bagi memindahkan air ke empangan.

Perjanjian pertama dimeterai dengan dua syarikat kejuruteraan awam berkaitan elektrikal dan mekanikal iaitu SMEC International Pty. Ltd. dan SMEC (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan kontrak, masing-masing bernilai A$22.1 juta (kira-kira RM67 juta) dan RM31.1 juta, atau keseluruhan kira-kira RM99.6 juta.

Perjanjian kedua pula adalah dengan Tindakan Mewah Sdn. Bhd. dan Salini Costruttori S.p.A Consortium melibatkan kontrak keseluruhan bernilai kira-kira RM2.05 bilion.

Di bawah kedua-dua perjanjian, kesemua syarikat terlibat bertanggungjawab terhadap kerja-kerja am, elektrik dan mekanikal di dalam projek tersebut.

"Ia termasuklah kawal selia projek , reka bentuk pembinaan empangan, dua terowong bawaan air dan janakuasa bawah tanah.

"Kerja elektrikal dan mekanikal itu adalah seperti membentuk, pentauliahan dua pusat jana kuasa dengan setiap satunya menghasilkan tenaga sebanyak 186 MW," kata TNB.

Katanya, tempoh pembinaan projek hidro itu adalah selama lima tahun di mana pembayaran kepada kesemua kontraktor terlibat dilakukan berdasarkan tahap perjalanan projek itu.

Projek itu bakal meningkatkan aset bersih TNB sekurang-kurangnya 7.1 peratus.

Ia merupakan sebahagian usaha TNB memenuhi peningkatan penggunaan tenaga elektrik serta menambah baik keselamatan sistem kuasa dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui dana pada masa sama mengurangkan pembebasan karbon.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban