YPM bantu lima kredit ke bawah SPM

YPM bantu lima kredit ke bawah SPM


KUALA LUMPUR - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bakal menjadi hab kepada pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan kurang daripada lima kredit melanjutkan pelajaran di 75 buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan seterusnya mencarikan pekerjaan untuk mereka.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Shariff Hamid, sekretariat khas rakan strategik YPM-IPTS itu telah dibuka di ibu pejabat Mara, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan dapat dilakukan secara berpusat.

"Kita akan menandatangani memorandum kerjasama dengan kelompok IPTS ini tidak lama lagi," katanya.

Katanya, langkah YPM itu dilihat penting dan sangat kritikal kerana bilangan lepasan SPM yang mendapat keputusan di bawah lima kredit mencecah 95,000 orang dan mereka ini tidak layak melanjutan pelajaran ke IPTA kerana tidak cukup syarat, selain tidak layak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

Dalam apa yang disifatkan oleh Shariff sebagai sebahagian daripada program 'sedekah ilmu' YPM, yayasan dijangka membiayai RM3,000 sehingga RM4,000 bagi setiap pelajar yang mengikuti pelbagai kursus bertaraf sijil.

Selain itu, dengan bantuan kewangan yang akan diberikan, tambah beliau, pelajar sasaran dijangka dapat melanjutkan pelajaran di peringkat kemahiran sehinggalah mendapat diploma dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi jika mencapai kelayakan.

Program itu terbuka kepada semua pelajar, tetapi keutamaan YPM tetap kepada pelajar yang kurang atau tidak berkemampuan, kata Shariff kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, baru-baru ini.

"Kita akan menjadi seperti agen, iaitu kita akan salurkan (pelajar sasaran) kepada IPTS yang menjadi rakan strategik kita bermula pada tahun ini," katanya.

Mengulas lebih lanjut tentang kerjasama YPM-IPTS berkenaan, beliau berkata, secara dasarnya telah dipersetujui antara kedua-dua belah pihak bahawa bagi setiap pelajar yang dibiayai oleh YPM, pihak IPTS perlu menaja secara percuma sama ada seorang pelajar - atau mengikut kadar nisbah yang sesuai - yang disalurkan oleh YPM.

"Katalah dalam sesebuah kelas kuliah kita menaja 35 pelajar dan ada lagi 30 kerusi kosong, maka kerusi kosong itu hendaklah diisi oleh pelajar YPM yang dipilih dan dibiayai oleh IPTS berkenaan," ujarnya.

Beliau juga memberitahu, setakat minggu pertama tahun ini sahaja, sudah terdapat beberapa rakan strategik yang bersetuju dengan nisbah 1:5 atau setiap lima penajaan YPM, seorang adalah percuma.

Shariff turut memuji beberapa IPTS, khususnya Kolej Polytech Mara, rakan strategik yang begitu aktif.

Kata beliau, Kolej Polytech Mara menyumbang kepada YPM sebanyak RM2 juta baru-baru ini sebagai pembiayaan pendidikan.

"Kalau dapat membantu pendidikan 10 peratus pun - atau 9,000 hingga 10,000 pelajar miskin bumiputera - sudah memadai," katanya.

Langkah inovasi dalam membantu pendidikan kaum bumiputera kurang dan tidak berkemampuan itu juga diharap dapat mengurangkan pelbagai isu keciciran dan salah laku remaja bumiputera yang mendapat kurang daripada lima kredit.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban