2 parah ditembak dua suspek

2 parah ditembak dua suspek

RASAH 22 April - Seorang pemilik kedai dan pemandu lori cedera parah selepas ditembak oleh dua lelaki dalam kejadian berasingan di Taman Seremban Jaya, di sini, malam tadi.
Mangsa pertama, R. Achudan, 30, terkena dua das tembakan di perut dan belakang badan manakala mangsa kedua, M. Vadiveloo, 41, ditembak di tangan dan perut.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan menaiki motosikal dan melepaskan tembakan ke arah mangsa pertama dalam jarak dekat.
"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri sejurus melihat mangsa rebah di hadapan kedai berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-12, di sini hari ini.
Menurut beliau, selang beberapa minit kemudian, kedua-dua suspek menembak Vadiveloo ketika mangsa sedang memasukkan barang ke dalam kereta di rumahnya.
Siasatan awal kata beliau mendapati kedua-dua mangsa tidak mempunyai sebarang perhubungan.
Beliau berkata, polis masih menyiasat lanjut motif serangan berkenaan dari segenap aspek tetapi tidak menolak kemungkinan berpunca daripada dendam, kongsi gelap atau pembunuh upahan.
"Setakat ini pihak polis belum mengambil keterangan lengkap mangsa yang masih lemah selepas menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja'afar,'' katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban