Kastam rampas dadah bernilai RM3.4j

Kastam rampas dadah bernilai RM3.4j

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SEREMBAN 22 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis Eramin 5 ke negara ini setelah menahan dua lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk dadah tersebut dari China.
Dadah bernilai hampir RM3.4 juta itu dirampas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Rabu lalu.
Kedua-dua suspek berusia 27 dan 35 tahun yang menaiki penerbangan dari republik itu ditahan anggota penguat kuasa sejurus selepas mendarat pada pukul 4.45 petang.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Liah Omar berkata, hasil pemeriksaan terhadap dua lelaki tersebut, pihaknya menemui 168,480 biji pil Eramin 5 seberat 35 kilogram (kg) yang disorok dalam bagasi masing-masing.
"Pada mulanya, kita menahan suspek yang berusia 27 tahun itu dan hasil pemeriksaan, kita menemui 18 bungkusan mengandungi dadah jenis Eramin 5 dalam dua beg dibawanya.
"Tidak lama selepas itu, kita menahan suspek kedua berusia 35 tahun dan menjumpai enam bungkusan mengandungi dadah jenis sama," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Narkotik, Kampung Jijan, Nilai, di sini hari ini.
Jelas Liah, pihaknya percaya dadah yang dirampas itu bernilai RM3.4 juta mengikut nilai pasaran tempatan.
"Siasatan lanjut pihak kami mendapati kedua-dua lelaki terbabit menganggur dan mempunyai ikatan persaudaraan.
"Berdasarkan rekod, kedua-dua suspek yang berasal dari Bukit Pelandok, Port Dickson itu kerap ke negara China iaitu hampir setiap bulan sejak awal tahun lalu," tambahnya.
Katanya lagi, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
"Kita percaya dengan penahanan dua lelaki itu kita telah melumpuhkan satu sindiket menyeludup dadah ke pasaran tempatan.
"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah agar dapat menyalurkannya dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau 06-791 7792/7587. Ganjaran akan diberi kepada pemberi maklumat tepat," ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban