Loloq tiada ganti – Ella

Loloq tiada ganti – Ella









                   Ella





















 
BENAR kata orang, irama dan lagu memang tidak dapat dipisahkan. Bila berpisah, pincanglah ia. Tidak sekalipun ingatan Ella pernah lekang terhadap lelaki yang cukup dikaguminya itu, namun takdir sudah menitikkan segala-galanya.
Sejujurnya emosi penyanyi genit ini cukup rawan tatkala mengenangkan insan seni yang disanjung tinggi sudah pergi buat selama-lamanya. Biarpun perit menerima hakikat itu, Ella pasrah jika jasad Loloq sudah tiada di depan mata.
Namun untuk melupakan orang yang banyak berjasa pada dirinya tidak sekali-kali. Loloq bagaikan hidup dalam diri seperti darah yang mengalir. Bila terkenangkan pengorbanan Loloq, hati Ella menjadi sayu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk melawan suratan yang sudah tertulis, dia tahu apa yang perlu dilakukan.
Biarpun sudah lebih tiga tahun Loloq pergi meninggalkan semua, tidak ada apa yang dapat memadam ingatan peminat terhadap lelaki yang menghembuskan nafas terakhir pada 30 Januari 2008 itu.
“Jujur Ella katakan, tidak pernah sesaat pun Ella melupakan Loloq. Hubungan kami bukan sekadar artis dan pencipta lagu semata-mata tetapi bagaikan abang dan adik.
“Kerjasama yang kami jalinkan sudah bermula sejak dahulu lagi. Kalau tengok dalam album 30110, dia sudah ada menulis lagu untuk album itu. Dan itu bukan yang pertama dan terakhir. Banyak lagi kerjasama yang kami jalinkan selepas itu yang berterusan sehingga meletakkan saya ke tahap ini.
“Mana mungkin saya melupakan insan yang banyak berjasa itu. Dia bukan sahaja berbakat besar tetapi dalam masa yang sama cukup tinggi ilmu pengetahuan. Paling Ella ingat, dia banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada Ella untuk buat yang terbaik.
“Kerjasama terakhir kami apabila album Ilham Bicara. Ella masih ingat gandingan mantap antara Loloq dan M. Nasir sehingga membuatkan album itu benar-benar mendapat sambutan luar jangkaan.
“Itu belum lagi lihat lagu Menanti yang benar-benar berbekas di hati Ella. Dia tahu apa yang Ella mahu dan hasilnya sudah tentu memberikan impak sehingga hari ini. Dia memang permata yang tidak boleh dicari ganti,” luah Ella sebak.
Berpeluang memberikan sedikit bakti kepada pemilik asal nama Rosli Khamis itu, Ella cukup berpuas hati apabila dapat bergandingan bersama dengan M. Nasir, Ramli Sarip, Spider dan Hasnul Rahmat menjayakan konsert Untukmu Loloq.
Konsert yang sudahpun berlangsung sejak Jumaat lalu akan berakhir malam ini menyaksikan persembahan hebat penyanyi-penyanyi yang pernah bekerjasama dengan Loloq.
Akui Ella, sumbangannya ini mungkin masih terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan jasa Loloq. Jadi tidak ada salahnya untuk dia terus memberikan menunjukkan tanda terima kasih yang tak terhingga dengan cara begini.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Ella menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang sibuk buat dirinya. Pelbagai aktiviti baru yang telah direncanakan dalam merancakkan lagi program yang telah diatur.
Pada bulan Julai nanti, dia akan ke Moscow, Rusia untuk menyertai World Rock Festival yang akan dihadiri nama-nama besar dari seluruh dunia.
“Sebelum ini Ella pernah ke sana juga. Tapi kali ini masih ada lagi undangan untuk Ella menyanyi dan pastinya itu merupakan satu perkembangan yang cukup hebat.
“Insya-Allah pada bulan Mei nanti Ella akan tampil dengan lagu baru khusus untuk mereka yang sentiasa menyokong kerjaya seni Ella sejak dahulu. Pada bulan Julai nanti barulah album baru akan muncul. Sudah 50 peratus daripada keseluruhan album disiapkan.
“Tapi keadaan sekarang cukup berbeza dengan zaman dahulu. Banyak perkara yang kita perlu pertimbangkan sebelum melancarkan apa-apa lagu. Apa yang orang nak dengan apa yang kita nak kadang kala cukup berbeza. Inilah yang perlu Ella perhalusi sebelum meneruskan apa yang dirancang.
“Bila zaman berubah, kita juga perlu berubah. Tak boleh nak pentingkan diri sebab ia tidak akan membantu apa-apa. Insya-Allah, Ella hanya mahu semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang. Itu dah cukup memadai,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban