Misbun bukan untuk Chong Wei

Misbun bukan untuk Chong Wei



KUALA LUMPUR - Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, namun kepulangannya bukan untuk Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya beliau diberi cabaran baru, melahirkan pengganti jaguh No. 1 dunia itu dengan sasaran adalah Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016.
Keputusan tersebut dicapai oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mesyuaratnya semalam, yang memutuskan Misbun akan membimbing sekumpulan pemain pelapis yang belum dikenal pasti, pada ketika Chong Wei pula kekal di bawah bimbingan Tey Seu Bock dan Rashid Sidek sehingga tamat Sukan Olimpik London 2012.
Bermakna, permintaan jurulatih berpengalaman itu untuk membimbing anaknya, Misbun Ramdan Misbun, antara punca beliau meletakkan jawatan sebelum ini, hampir akan dikabulkan oleh BAM.
Namun, butiran terperinci mengenai siapa pelatih yang bakal bernaung di bawah beliau hanya akan diputuskan selepas mesyuarat exco 28 April ini.
"Kami mencadangkan Misbun mengendalikan skuad campuran, gabungan pemain elit dan pelapis. Kita belum menentukan senarai pelatih yang akan berada di bawah beliau, tetapi yang pasti beliau tidak akan bekerja secara langsung dengan Lee Chong Wei.
"Keputusan ini dicapai selepas mendapatkan pandangan daripada semua rakan kongsi BAM iaitu barisan jurulatih kebangsaan, Lee Chong Wei dan MSN (Majlis Sukan Negara), namun ia perlu diluluskan oleh exco yang bermesyuarat minggu depan," kata Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai, yang mempengerusikan mesyuarat hampir tiga jam di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Chin Chai berkata, Misbun sudahpun dijelaskan mengenai skop baru tugasnya apabila kembali ke skuad kebangsaan dan jurulatih itu menyambut cabaran tersebut dengan baik biarpun hingga hari ini belum menjawab kontrak baru yang diserahkan oleh BAM, minggu lalu.
"Kami sudah beritahu Misbun mengenai skop tugasnya nanti dan beliau menerima dengan baik. Pemilihan pemain yang akan dibimbingnya bakal dibuat secara bersama. Kami sudah berbincang dengan jurulatih lain, termasuk Hendrawan mengenai kemungkinan menyerahkan pemain mereka dan semua menerimanya dengan baik kerana ia adalah demi kepentingan negara.
"Pemilihan pemain, bergantung kepada kesesuaian corak permainan dan beberapa kriteria. Mungkin akan ada satu atau dua pemain skuad elit berada di bawah Misbun bersama pemain pelapis, tetapi mungkin juga tidak, namun siapapun yang akan dipilih, ia sama sekali tidak akan menganggu atau merubah struktur kejurulatihan kebangsaan," kata Chin Chai lagi.
Selain Chong Wei, terdapat empat lagi pemain elit yang dikendalikan Seu Bock dan Rashid iaitu Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Chan Kwong Beng dan Liew Daren, manakala ada sembilan pemain pelapis yang dilatih Hendrawan, iaitu Mohd. Arif Latif, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Fang Yang, Muhd. Syawal Ismail, Misbun Ramdan Misbun Sidek, Loh Wei Sheng, Kuan Kam Chung, Goh Soon Huat dan Tew Gee Chong.
Dalam perkembangan lain, BAM sudah menyerahkan surat tawaran kepada ratu badminton negara, Wong Mew Choo untuk menjadi jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi menggantikan Chi Zhangrong yang dinaikkan sebagai jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, mengisi kekosongan Wong Tat Meng. Zhangrong akan membawa bersama dua pemainnya, Sonia Chia dan Yang Li Lian.

info utusanmalaysia

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban