RM73 bilion bakal masuki Iskandar

RM73 bilion bakal masuki Iskandar

JOHOR BAHRU 22 April - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menjangka kemasukan pelaburan berjumlah RM73 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dengan menjadikan sektor pembuatan dan hartanah sebagai penyumbang utama.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim berkata, sasaran itu bertujuan memastikan pihaknya mencatatkan pertumbuhan lapan peratus setahun melebihi dua peratus berbanding unjuran kerajaan.
"Kedua-dua sektor tersebut merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan Iskandar Malaysia dan sentiasa mendapat perhatian daripada pelabur dari dalam dan luar negara.
"Melalui sasaran yang ditetapkan, Iskandar Malaysia dijangka mampu meraih pelaburan sebanyak RM13 bilion dalam tempoh setahun," katanya selepas melancarkan Hari Terbuka Iskandar Malaysia ke-5 (IMOD 2011) di Plaza City Square di sini hari ini.
IMOD 2011 merupakan program berkala yang diadakan antara dua hingga tiga kali setahun selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad yang bertujuan menyampaikan maklumat tentang perkembangan di kawasan Iskandar Malaysia.
Ismail berkata, IMOD 2011 edisi kelima itu antara lain bertujuan melihat maklum balas daripada orang ramai terhadap usaha yang sedang dijalankan di dalam wilayah pembangunan itu dan bagi menambah baik kemudahan sedia ada.
Beliau berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Iskandar Investment Bhd. (IIB), Pusat Pelaburan Negeri Johor (JCIS) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban