Perdana Menteri bermesra dengan pendengar Hot FM

Perdana Menteri bermesra dengan pendengar Hot FM



PM-Najib Tun Razak ceria melayani pendengar di Konti Radio Hot FM dan turut bersama Perdana Menteri ialah DJ stesen radio itu, Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran di Sri Pentas TV3, Bandar Utama Damansara, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Noor Asrekuzairey Salim





KUALA LUMPUR 6 Mei - PERDANA MENTERI Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan komitmen beliau selaku pemimpin yang mesra rakyat apabila meluangkan masa selama sejam iaitu dari pukul 7.30 hingga 8.30 pagi untuk berinteraksi secara langsung dengan pendengar Radio Hot FM.
Lebih menarik kehadiran Perdana Menteri bukan hasil jemputan melalui surat rasmi sebaliknya, hasrat untuk menemu bual beliau itu hanya dibuat melalui laman Twitter oleh penyampai radio, Farah Fauzana pada 27 April lalu.
Menurut Najib, beliau teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan pendengar Hot FM kerana ia merupakan pengalaman baru bagi dirinya, sejak bergelar pemimpin nombor satu negara.
"Peluang sebegini saya tidak boleh lepaskan. Ini pengalaman baru bagi saya. Hot FM ini salah satu medium untuk saya dekati rakyat," katanya memulakan bicara semasa ke udara bersama Farah, Faizal Ismail dan Keiran di Konti Hot FM, di Sri Pentas, di sini hari ini.
Di konti, selain berinteraksi bersama pendengar, Perdana Menteri turut bermain 'Dam Aji' bersama Faizal dan membalas mesej Twitter orang ramai yang gembira dengan sikap sporting beliau sepanjang ke udara.
Pada masa yang sama, Najib juga ditanya mengenai rutin harian beliau, cara menghilangkan tekanan serta ramalan mengenai peluang pasukan bola sepak kesukaannya, Manchester United yang bakal menentang Barcelona.
Mengenai rutin hariannya, Perdana Menteri berkata, beliau memulakan harinya dengan bangun untuk bersolat Subuh, diikuti membaca akhbar, mandi, sarapan pagi dan kemudiannya ke pejabat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' dan 'Selamat Hari Guru' yang akan disambut pada bulan ini.
"Ibu memainkan peranan yang sangat besar. Ia satu hakikat yang kita mesti iktiraf. Kita mesti sayang dan cinta kepada ibu.
"Sempena Hari Guru pula, kepentingan golongan pendidik dalam mencorak masa depan negara diakui. Kekuatan negara kita bergantung kepada kualiti insan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban