Perantara pelacuran: Hukuman Haslinda, Mohd. Amin kekal

Perantara pelacuran: Hukuman Haslinda, Mohd. Amin kekal


PUTRAJAYA 13 Okt. - Hukuman penjara 10 bulan yang dikenakan terhadap bekas penerbit rancangan televisyen, Haslinda Merican M.A. Merican dan bekas perunding kewangan, Mohd. Amin Jamadi kerana kesalahan menjadi perantara pelacuran melibatkan empat artis wanita, 16 tahun lalu, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner turut mengekalkan denda RM5,000 terhadap kedua-duanya selepas rayuan akhir mereka ditolak sebulat suara.
Dengan keputusan itu yang diumumkan pukul 6 pukul petang tadi, Haslinda dan Mohd. Amin yang dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sementara menunggu rayuan akhirnya, diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta.
Mereka didapati bersalah pada 4 Oktober 2000 kerana menjadi perantara pelacuran terhadap empat artis wanita (nama mereka dirahsiakan oleh mahkamah) di antara pukul 8 dan 10.30 malam, 27 Jun 1995 di lobi Hotel Ming Court (kemudian dikenali sebagai Hotel Corus), Jalan Ampang di ibu negara.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(1)(k) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Haslinda dan Mohd. Amin diwakili oleh peguam Gurbachan Singh manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abas dan Najib Zakaria.
Kes berprofil tinggi itu pernah mendapat liputan meluas pihak media kerana beberapa nama orang kenamaan dan artis terkenal wanita turut disebut ketika perbicaraan yang bermula pada 13 November 1995. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban