Pensijilan kayu-kayan di Malaysia


Penerangan kepada delegasi semasa lawatan Program Malaysian Timber Council (MTC) Familiarisation Programme di Matau.



Industri kayu kayan negara telah diurus dan dibangunkan dengan baik sejak dahulu lagi. Sebab itu penebangan hutan di Malaysia mempunyai sistem dokumentasi dan pengenalan yang lengkap.
Sistem pelabelan juga dilaksanakan yang mana pokok-pokok yang akan ditebang dikenalpasti secara sistematik, diukur, dilabel dan direkodkan terlebih dahulu.


Melalui sistem ini, setiap kayu balak yang dikeluarkan daripada Hutan Simpanan Kekal boleh dikenal pasti asal usul hutannya.
Malah, tunggul pokok juga boleh dikenal pasti dan usaha lain yang dilakukan bagi mempertingkatkan penentusahan sumber adalah dengan melabel 100 peratus semua pokok yang akan ditebang dan disimpan di konsesi pembalakan.
Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan lain-lain teknologi berkomputer seperti penggunaan alat bacaan kod bar telah memperbaiki proses penentusahan dari segi undang-undang serta membolehkan pengesanan kayu balak dari hutan secara sistematik selaras dengan sistem rantaian jagaan.
Pada 1996, Malaysia dan Belanda telah memulakan kajian perintis mengenai pensijilan kayu di bawah satu Kumpulan Kerja Usahasama (JWG).
Dari situ satu set kriteria dan penunjuk untuk pensijilan pengurusan hutan telah diwujudkan.
Ia berdasarkan kriteria dan petunjuk pengurusan hutan secara mampan dan telah digunakan dalam kajian perintis yang dilaksanakan oleh JWG tersebut.
Menurut Pengurus Kanan, Pengurusan Hutan, Majlis Pensijilan Kayu Kayan Malaysia (MTCC), Yong Teng Koon, untuk mempertingkatkan lagi pelaksanaan pengurusan hutan secara mampan dan memenuhi kehendak pasaran terhadap produk-produk kayu yang telah disijilkan, satu persetujuan untuk mewujudkan badan pensijilan kayu nasional telah dimeterai.
''Persetujuan ini telah membawa kepada penubuhan Majlis Pensijilan Kayu Kayan Nasional (NTCC) pada 1998, yang kemudiannya dikenali sebagai MTCC.
''Misinya ialah untuk membangun dan melaksanakan piawaian yang berkaitan dengan pensijilan kayu kayan di negara ini," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya sempena sesi lawatan yang diatur oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada penghujung 2006, lapan Unit Pengurusan Hutan (FMU) di Semenanjung Malaysia yang meliputi kawasan seluas 4.67 juta hektar dan satu FMU di Sarawak seluas 55,949 hektar telah disijilkan di bawah skim pensijilan kayu MTCC.
Sabah telah memulakan ujikaji dalam pensijilan pengurusan hutan dalam model hutannya iaitu Hutan Simpan Deramakot, dan telah memperolehi sijil pada 1997 berlandaskan MC&I dan Program FSC-accredited SGS QUALIFOR.
Hutan Simpan Deramakot telah dinilai semula pada 2002 dan sijil tersebut telah diperbaharui buat kali kedua untuk tempoh lima tahun dan tamat pada 2008.
Melalui pensijilan kayu kayan, pengeluaran sesuatu produk itu boleh diterima dan disahkan sebagai hasil dari hutan yang diuruskan secara mampan.
Piawaian pensijilan Malaysia adalah berasaskan kriteria dan petunjuk pengurusan hutan secara mampan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.
Dalam usaha untuk mempertingkat dan menambah usaha agar skim tersebut diperakui, MTCC sentiasa berunding dengan skim pensijilan antarabangsa dan juga agensi berkaitan hutan yang lain.
Salah satu usaha yang sedang dijalankan adalah sentiasa mengemaskini dan mengukuhkan peranan serta tanggungjawab pihak-pihak utama yang terlibat dalam skim MTCC.
MTCC akan terus memainkan peranan utama sebagai Badan Pentadbir Nasional (NGB), manakala penilai bebas pula akan dikenali sebagai Badan Pensijilan (CB) yang diakreditasi kepada Jabatan Standard Malaysia, yang merupakan Badan Akreditasi (AB) dan rancangan tersebut, semua sijil di bawah skim MTCC akan dikeluarkan oleh CB.
Proses penentusahan dan pensijilan di Malaysia telah diringkaskan dan melibatkan pelbagai struktur agensi yang kompleks sekali gus membolehkan pemantauan dan penyeliaan pengeluaran domestik dan import kayunya.
Sistem sedia ada ini bersandarkan kepada audit mandatori daripada sektor awam serta pensijilan sukarela daripada pihak ketiga dan segala piawaian tidak boleh dibangunkan dan dipersetujui dalam sekelip mata.
Justeru itu, pelbagai pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, organisasi akademik, penyelidikan dan pihak yang terlibat dalam industri kayu kayan di seluruh dunia perlu diambil kira.
Hala tuju pengurusan sumber secara mampan adalah ibarat satu perjalanan, bersama pihak berkepentingan ini, Malaysia sebagai negara pengeluar utama kayu tropika akan sentiasa meningkatkan piawaian ke tahap yang terbaik.
Kerajaan turut menyedari keperluan untuk memenuhi kehendak kumpulan berkepentingan ini, selain daripada keperluan untuk menyeimbangkan ekonomi, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan juga keperluan sosial.
Malaysia telah berada jauh di hadapan dalam pengurusan hutan tropika jika dibandingkan dengan negara-negara pengeluar yang lain dan industri perkayuan adalah antara penyumbang eksport paling penting bagi negara.
Oleh sebab itu, kerajaan tidak akan berkompromi dalam usaha pengurusan hutan tropika kerana ia boleh menjejaskan industri tersebut.
Selain pensijilan, audit Sistem Pengurusan Berkualiti (QMS) yang merupakan sebahagian daripada piawaian ISO 9000 juga telah diaplikasikan dalam sistem pentadbiran kayu yang rutin.
Realitinya, sekiranya negara khususnya kerajaan tidak berjaya dalam usaha-usaha pensijilannya, adalah agak sukar bagi negara-negara pengeluar kayu tropika yang lain untuk mengikuti jejak langkah Malaysia.
SFM pengurusan hutan mampan
Hutan hujan tropika, di samping hutan-hutan beriklim sederhana, lautan dan sebagainya membantu memastikan keseimbangan alam.
Asas pengurusan hutan di Malaysia bermula dengan memperuntukkan sebahagian kawasan hutan yang luas sebagai Hutan Simpanan Kekal.
Hutan Simpanan Kekal diwartakan bagi memastikan usaha perlindungan, pengawasan yang ketat, penguatkuasaan dan pencegahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Malaysia juga sentiasa telus dalam usaha untuk menguruskan sumber-sumber hutan secara mampan dengan pelbagai cara antaranya memperbaiki peluang pelaburan perladangan sebagai sumber tambahan untuk bekalan kayu.
Dasar perhutanan Malaysia sentiasa menekankan aspek keseimbangan di antara perlindungan dan pengeluaran.
Malah peraturan yang berkaitan dengan pengurusan operasi hutan telah diwujudkan dan ia menjelaskan secara terperinci berkenaan garis panduan penebangan balak, kanun amalan terbaik, inventori hutan, silvikultur dan kejuruteraan jalan hutan.
Menurut Pegawai Perhutanan Daerah (DFO) Kuala Kangsar, Perak, Mohd Asri Yusof, sistem tersebut dikenali sebagai Pengurusan Hutan Terpilih (SFM).
Ia merupakan antara panduan yang digunakan oleh pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sejak mula jabatan tersebut ditubuhkan sehingga kini.
"Menerusi amalan SFM, semua penebangan balak dan aktiviti yang berkaitan dijalankan oleh kontraktor-kontraktor yang beroperasi mengikut perjanjian dan lesen yang sah.
"Sistem perlesenan tersebut menetapkan kadar penebangan pokok, urutan penebangan, had dan saiz pokok, laluan pengangkutan, piawaian untuk pembinaan jalan dan kaedah-kaedah rawatan hutan," ujarnya.
Dalam kawasan pembalakan selektif, piawaian untuk melindungi laluan air, pembinaan jambatan dan aliran air, dan pembinaan penampan sungai juga telah ditetapkan.
Pembalakan tidak boleh dijalankan di dalam kawasan sensitif dan kawasan tadahan air, malah penggunaan bahan-bahan kimia untuk meracun lingkungan (poison girdling) pokok juga telah lama dihentikan.
Jelas Mohd. Asri, bagi rawatan selepas penebangan, garis panduan yang ada telah digunakan untuk menilai keadaan tanaman pokok selepas pembalakan melalui kaedah rehabilitasi dan proses tanaman pengkayaan mengikut keadaan kawasan hutan selepas proses pembalakan.
Setiap proses penebangan di negara ini adalah di bawah seliaan sepenuhnya oleh JPSM menerusi panduan yang dikenali sebagai Forest Manual, siri I hingga III, Field Work Manual dan Qualiti Prosedure siri 1 hingga 5.
Pengurusan hutan ini juga sama bagi seluruh negeri-negeri di Semenanjung dan sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak.
Justeru itu, seluruh negeri di Semenanjung Malaysia mesti mengikuti kriteria yang digariskan di dalam Malaysian Criteria, Indicators, Activities and Standards of Performance for Forest Management Certification (MC&I) melalui beberapa proses penilaian oleh pihak luar dari JPSM.
Pensijilan MC&I tersebut adalah tertakluk di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS).
Amalan-amalan pengurusan hutan secara mampan di Malaysia juga meliputi perlindungan terhadap cara hidup komuniti orang asli.
Hak-hak mereka yang bergantung kepada hutan untuk hidup telah diperakui secara sah, sama seperti hak-hak penduduk setempat yang berkaitan dengan penggunaan sumber-sumber hutan untuk menampung kehidupan.
Hak-hak ini telah tercatat dalam Ordinan Tanah 1930 (Sabah), Akta Orang Asli 1954, Kanun Tanah 1958 (Sarawak), Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perhutanan Negara 1984 dan lain-lain undang-undang berkaitan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban