Prasarana beri bonus kontraktual setengah bulan, kenaikan RM30


 

 

 

 

 

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kira-kira 3,500 pekerja RapidKL akan menerima bonus berkontrak setengah bulan gaji dan kenaikan gaji tahunan minimum RM30, menerusi perjanjian kolektif antara Kesatuan Pekerja-pekerja RapidKL dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana).
Perjanjian untuk tempoh lima tahun sehingga 2015 itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar dan Presiden Kesatuan pekerja-pekerja RapidKL, A. Somasundram dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia, Md. Yunus Razally di sini hari ini dan berkuat kuasa serta-merta.
Perjanjian itu meliputi para pekerja bukan eksekutif yang bertugas dalam bahagian perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk pemandu, pekerja-pekerja perkeranian dan am serta juruteknik rendah.
Shahril berkata, pelbagai faedah telah disediakan di bawah perjanjian bersama itu dan beliau berharap ia akan menguatkan lagi semangat dan komitmen ahli-ahli kesatuan dan para pekerja RapidKL seluruhnya.
"Segala proses rundingan telah berjalan dengan lancar dan dengan penuh keikhlasan serta sentiasa berpandukan kepada satu matlamat bersama iaitu untuk memastikan yang terbaik untuk para pekerja dan syarikat.
"Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, RapidKL dan kumpulan syarikat Prasarana secara umumnya masih bergantung kepada sokongan kerajaan untuk beroperasi yang sekali gus mengehadkan keupayaan syarikat dalam melaksanakan niatnya untuk memberi yang terbaik kepada semua pekerja," katanya di sini hari ini.
Katanya, walaupun berada dalam kemampuan yang terhad, pihaknya masih mampu menyediakan syarat-syarat dan terma serta ganjaran sama ada berbentuk kewangan atau bukan kewangan yang berpatutan untuk kakitangan.
"Janji saya cukup mudah. Sekiranya, kita maju dan berjaya, syarikat akan terus menambah baik syarat-syarat dan terma-terma ini seiring dengan kemajuan syarikat.
"Justeru, saya menyarankan seluruh warga kerja Kumpulan Prasarana untuk bersepakat dan berusaha gigih untuk mengharungi transformasi seperti yang telah digariskan di bawah rancangan Go Forward Plan (GFP) yang dilancarkan Januari lepas," ujarnya.
Beliau turut menyarankan Kesatuan menjadi rakan seperjuangan pihak pengurusan syarikat dalam misi merealisasikan agenda GFP tersebut.

p/s:tahniah semua pekerja rapidkl

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban