SMD Quessant Agosta 70 tarikan baru


Kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 yang bakal dijadikan Muzim Kapal Selam pertama di Malaysia ini sedia menanti kunjungan pelawat apabila ia dibuka nanti.



MELAKA 12 Dis. – Melaka dikenali di seluruh dunia sejak sekian lama. Walaupun sebuah negeri kecil, keunikannya adalah pada pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.
Sungguhpun sumber hasil buminya terhad, Melaka mampu membangun kerana industri pelancongannya berupaya menarik kedatangan jutaan pengunjung setiap tahun.
Tidak hairanlah saban masa terutama pada hujung minggu dan cuti umum terutama cuti sesi persekolahan, orang ramai mula tertumpu ke negeri ini.


Kepelbagaian produk pelancongan berasaskan sejarah, pendidikan, sukan dan kesihatan jelas telah mengubah landskap Melaka secara keseluruhannya.
Sejak lima tahun lalu banyak yang berubah. Negeri yang terkenal sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka itu kini semakin menjadi tumpuan pelancong menerusi pelbagai tarikan.
Usaha kerajaan negeri berjaya menarik kedatangan pelabur dalam industri pelancongan dan ia dapat dilihat di sekitar kawasan bandar raya Melaka.
Langkah kerajaan membangunkan pelbagai produk pelancongan di sekitar Banda Hilir hingga ke Klebang serta Pantai Puteri memudahkan orang ramai berkunjung dari satu tempat ke tempat yang lain tanpa melalui perjalanan yang jauh.
Pakej pelancongan lebih tertumpu kepada tempat seperti Stadthuys, A Famosa, Christ Church, St. Paul Church, Perigi Hang Li Po dan sebagainya.
Ia ditambah pula dengan kewujudan bot Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Jonker Walk, kenderaan dua alam Duck Tours, Monorel, Zoo Melaka dan sebagainya.
Wild Life Theater di Pulau Melaka adalah produk terkini dibuka pada 25 November lalu untuk mereka yang berminat menyaksikan persembahan unik tiga ekor singa laut yang didatangkan khas dari Chile selain aksi spesies haiwan lain.
Terbaru, kerajaan membuat pelaburan besar apabila membeli sebuah kapal selam dari Perancis untuk dijadikan Muzium Kapal Selam pertama di negara ini.
Mulanya hasrat itu dilihat seperti ‘main-main’ namun, ia menjadi realiti apabila kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba di negeri ini.
Kapal selam itu dibawa menaiki sebuah kapal kontena menempuh pelayaran hampir sebulan selepas bertolak dari sebuah pelabuhan di Perancis dan akhirnya kapal selam seberat 1,200 tan itu tiba di perairan Selat Melaka pada 12 November lalu.
Bagaimanapun, proses untuk mengangkut kapal selam terbabit menelan belanja RM12.6 juta dan pertama kali dilakukan, kerja-kerja menaikkannya memakan masa yang lama apabila ia perlu dilakukan dengan begitu teliti.
Sebuah syarikat iaitu FELDA Transport Services Sdn Bhd (FTSSB) telah diberi kepercayaan memikul tanggungjawab mengangkut kapal selam itu untuk diletakkan di Dataran 1Malaysia di Klebang.
Dua buah kren khas yang masing-masing berkemampuan mengangkat beban seberat 900 tan telah digunakan dalam operasi selama tiga jam bagi mengalihkan kapal selam berkenaan dari kapal Jumboship ke kapal ponton.
Kapal selam dengan ukuran 67.57 meter panjang dan tinggi 11.75 meter dengan lebar 6.5 meter tersebut akhirnya berjaya didaratkan di tapak berkenaan untuk dijadikan Muzium Kapal Selam pada 22 November lalu.
Kedatangan kapal selam itu membuatkan rakyat negeri ini begitu teruja kerana itulah kali pertama mereka dapat melihat sebuah kapal selam secara nyata di depan mata sendiri berbanding menontonnya di televisyen.
Tempoh 10 hari kerajaan negeri memberi peluang kepada rakyat untuk melihat dari dekat kapal selam itu mendapat sambutan menggalakkan.
Orang ramai berpusu-pusu datang ke Dataran 1Malaysia untuk melihat kapal selam buatan Perancis berkenaan sebelum ia ditutup bagi kerja-kerja mengecat dan pembinaan infrastruktur muzium kapal selam pertama di negara ini.
Agosta 70 digunakan untuk melatih krew pertama kapal selam Malaysia dari 2005 hingga 2009 dan latihan itu dijalankan berikutan kontrak yang ditandatangani oleh Malaysia bagi pemilikan kapal selam Scorpene Perancis pada 2002.
Kali terakhir Agosta 70 digunakan oleh TLDM dan Tentera Laut Perancis ialah ketika melakukan pelayaran di Lautan Atlantik pada Julai 2009.
Sudah pasti kehadiran kapal selam buatan Perancis itu bakal menambah tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan mereka pada masa depan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban