Amanat penting PM atasi banjir di Kerian 14 Jan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengumuman yang akan dibuat itu menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap kesusahan penduduk di kawasan tersebut yang paling teruk menerima kesan banjir.
''Kawasan tersebut (Kerian) paling teruk terima kesan banjir. Perdana Menteri akan membuat pengumuman penting di Kerian untuk atasi masalah banjir yang sering berlaku," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.
Semasa membentangkan Bajet 2012 lalu, Perdana Menteri menegaskan terdapat empat juta penduduk yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir dan sebagai tindakan awal, kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perak, Perlis dan Johor dengan kos sebanyak RM1 bilion.
Di Perak, tiga projek RTB ialah di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah; Perlis (naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau) dan Johor (RTB di bandar dan Sungai Segamat).
Daerah Kerian memerlukan tebatan banjir yang komprehensif kerana daerah tersebut terlalu bergantung kepada Sungai Kerian bagi mengalirkan limpahan air ke laut.
Menurut Zambry, Perdana Menteri dijangka tiba di negeri ini pada malam 13 Januari ini bagi menghadiri pertemuan dengan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).
''Selain Kerian, Perdana Menteri akan berada di beberapa daerah lain. Kita akan mengumumkan program-program lain yang akan dihadiri Perdana Menteri kemudian, selepas melihat jadual beliau," katanya.
Comments
Post a Comment