Kemalangan bongkar rahsia lelaki miliki dadah












KUALA LUMPUR 25 Jan. - Kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal melanggar kanak-kanak yang sedang berjalan kaki di Desa Tasik, Sungai Besi semalam, membongkar rahsia lelaki itu memiliki sembilan peket dadah jenis heroin.
Rahsia suspek berusia 22 tahun itu terbongkar selepas seorang anggota polis yang kebetulan melihat kejadian berkenaan menahan lelaki terbabit dan meminta dokumen pengenalan diri.
Namun dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, semasa suspek hendak mengeluarkan dokumen miliknya, polis menemui sembilan peket dadah dipercayai heroin yang disimpan di dalam kotak rokok.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak bekerja dan memiliki satu rekod jenayah lampau.
"Kanak-kanak itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama lima hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.
Dalam kejayaan kedua, Mohan Singh memberitahu, polis menahan seorang pemandu teksi kerana memiliki pelbagai jenis dadah di kawasan Pusat Perniagaan Metro Pudu, Cheras di sini Jumaat lalu.
Katanya, kesemua dadah itu yang disorokkan di dalam lapan sampul surat dan sampul ang pow terdiri daripada 19 gram dadah jenis ketamin, 95 biji pil ekstasi, 10 biji pil Eramin 5 dan sembilan ketulan mampat ganja.
Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman sehingga esok.


Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban