Percutian berakhir dengan tragedi


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengusung mangsa kemalangan di KM 254.1, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, semalam. - BERNAMA



SEREMBAN 25 Jan. - Kegembiraan sebuah keluarga selepas bercuti di Langkawi tidak berpanjangan apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 254.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan dekat Senawang di sini, hari ini.
Danish Abdul Latif, 6, maut di tempat kejadian selepas van jenis Joylong yang dinaiki bersama lapan ahli keluarganya terbabas di tepi longkang lebuh raya tersebut.
Nahas yang berlaku pukul 6.45 pagi itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar sebelum van berkenaan menghempap mangsa di kepala.
Ibu mangsa, Zurina Omar, 36, dan bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga, termasuk dua kanak-kanak berusia setahun dan 10 tahun cedera dan diberi rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Jurucakap polis memberitahu, van yang dipandu oleh Abdul Latif itu hilang kawalan sebelum terbalik di tepi longkang berkenaan.
"Danish meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap van itu. Mayatnya dihantar ke hospital dan dituntut oleh ahli keluarganya pukul 1 petang ini," katanya di sini.
Jurucakap itu berkata, keluarga tersebut dalam perjalanan ke Johor selepas bercuti di Langkawi, Kedah sempena Tahun Baru Cina.
Dalam pada itu, salah seorang mangsa, Suhana Sofia Omar, 27, berkata, mereka bertolak malam tadi dan dalam perjalanan pulang ke Johor.
"Ketika kejadian, saya tidur dan cuma sedar apabila van yang kami naiki bergoncang dan terbalik. Ketika itu, saya cuma dengar jeritan.
"Dalam samar-samar itu, kami semua merangkak keluar menerusi cermin van yang pecah, tetapi saya dapati Danish tiada.
"Selepas mencari di dalam van, hati kami luluh apabila ternampak sebahagian tubuhnya dihempap van dan tidak bergerak lagi," katanya sedih ketika ditemui di HTJ hari ini.
Jenazah Danish dibawa pulang ke Segamat, Johor untuk dikebumikan petang ini.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban