Siti, Nicholas digandingkan dalam Kekuatan Cinta






















JAKARTA 11 Jan. - Seandainya persefahaman dan persetujuan dicapai, filem Kekuatan Cinta terbitan syarikat produksi Indonesia, PT Kentfilms Production akan menampilkan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

























Filem yang kini sedang dalam perancangan penerbitannya bercadang menampilkan penyanyi terkenal Malaysia itu untuk digandingkan dengan aktor popular Indonesia, Nicholas Saputra.





















Penerbitan filem yang bakal diarahkan oleh Iwan Sardi itu juga berhasrat mengundang pelakon muda dan sensasi Malaysia, Fasha Sandha.
Selain Siti Nurhaliza dan Fasha Sandha, dua artis Malaysia lain yang juga bakal membintangi filem ini ialah Melissa Saila dan Raja Ema.
Tidak ketinggalan dua aktres ternama Indonesia, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo juga antara bintang yang disenaraikan berlakon dalam filem itu.
Menurut Iwan, besar harapannya lamaran yang akan dibuat kepada penyanyi ternama Malaysia itu mendapat maklum balas yang positif kerana populariti Siti Nurhaliza di Indonesia masih bertahan sehingga kini.
"Kami sedia maklum Siti Nurhaliza lebih fokus pada bidang nyanyian berbanding lakonan. Tetapi, dalam filem Kekuatan Cinta itu kelak, kami hanya mahu menampilkan Siti Nurhaliza sebagai bintang undangan. Karakter beliau dalam filem itu juga hanya sebagai penyanyi yang muncul di sebuah pertunjukan pentas," kata Iwan ketika ditemui di sini kelmarin.
Sebelum itu, Iwan bersama Pengarah Utama PT Kenfilms Production, Edy AS mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hasan di pejabatnya di sini.
Pada pertemuan itu, Iwan dan Edy meminta pandangan daripada Syed Munshe bagaimana syarikat produksi berkenaan dapat menjalin kerjasama dengan produksi dari Malaysia untuk menerbitkan filem Kekuatan Cinta.
Menurut Iwan, filem Kekuatan Cinta yang diadaptasi daripada novel popular tulisan Sastri Y Bakri juga akan menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Malaysia.
Filem berkenaan mengisahkan kesetiaan seorang isteri kepada suami yang menderita kesakitan sehinggalah membawa kepada kematian orang yang dicintai itu.
Kekuatan Cinta turut menyelitkan adegan percintaan lelaki Indonesia dengan wanita Malaysia.
Pada masa sama, Iwan juga amat berbesar hati seandainya ada syarikat penerbitan filem atau mana-mana pengarah Malaysia yang mahu bekerjasama dengannya untuk sama-sama menghasilkan filem yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
"Tentunya saya amat gembira dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan karyawan filem Malaysia. Saya percaya kolaborasi ini akan terus mengukuhkan hubungan persaudaraan antara dua negara," jelas beliau lagi. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Tangkal Besi Movie 2011 sdtvrip