UVH beri perkhidmatan terbaik


Tidak seperti klinik veterinar yang lain, Hospital Veterinar Universiti (UVH), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor ini menawarkan perkhidmatan yang terbaik di samping disokong oleh pelbagai alatan canggih dan yang terkini.
Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Prof. Dr. Abd. Wahid Haron berkata, hampir setiap hari UVH menerima kes atau kunjungan daripada pemilik haiwan untuk merujuk berhubung kesihatan haiwan mereka.
"Malah kini, kita terpaksa membuka kaunter pendaftaran dan menerima kes pada waktu tengahari.
"Kini kita menerima hampir 30 hingga 40 kes sehari dan 60 hingga 70 kes bagi kemasukan ke wad dalam sebulan," ujarnya.
Malah, perkhidmatan di UVH juga turut diakui terbaik oleh pelanggan yang hadir mendapatkan rawatan bagi haiwan kesayangan mereka di sini.
Menurut pegawai bank, Abdul Wahab Yacob, UVH menawarkan perkhidmatan terbaik dan amat menitik beratkan kepuasan pelanggan.
"Pada saya perkhidmatan yang diberikan oleh doktor di UVH adalah yang terbaik, bersih berbaloi dengan kadar bayaran yang dikenakan.
"UVH ini telah diperkenalkan oleh abang ipar saya dan kini hampir setahun saya mengunjunginya membawa kucing-kucing saya," ujarnya.
Wahab yang memiliki sembilan ekor kucing sanggup mengambil cuti pada hari bekerja untuk ke UVH bagi melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap haiwan peliharaannya itu.
Bagi pengarah syarikat Felix Research Laboratory, Syarifah Karen Abdeen, UVH amat selesa dan bersih.
"Saya kini tinggal di New Zealand dan pulang bersama suami ke Malaysia atas urusan kerja amat terpegun dengan penubuhan UVH di Malaysia.
"Ia merupakan satu langkah yang amat baik (menubuhkan UVH), malah saya lihat bayaran yang dikenakan juga adalah amat berpatutan," ujarnya.
Bagi Syarifah Karen, UVH merupakan sebuah hospital veterinar yang benar-benar menawarkan perkhidmatan bukan untuk keuntungan semata-mata.
Selain menawarkan perkhidmatan untuk orang awam, UVH turut menerima kunjungan daripada pihak swasta yang memelihara haiwan eksotik seperti zoo dan pusat rekreasi berasaskan haiwan.
Ia diakui oleh pegawai perubatan veterinar, Aquaria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Dr. Nurazreen Zulaidi yang sering mendapatkan perkhidmatan di UVH.
"Di UVH kami boleh mendapatkan khidmat seperti peralatan X-ray, makmal ujian darah serta pelbagai lagi secara percuma.
"Ia berikutan pihak kami membawa haiwan-haiwan liar dan eksotik dan ia boleh juga dikatakan sebagai sumbangan UVH dalam membantu usaha konservasi haiwan-haiwan ini," katanya.
Malah ujarnya, di UVH juga mudah untuk mendapatkan segala ubatan yang diperlukan.
Biarpun perkhidmatan yang diberikan secara percuma untuk kategori haiwan sedemikian, namun UVH turut mendapat kelebihan daripada segi pengumpulan data.
Setiap data berkenaan haiwan liar dan eksotik akan direkodkan oleh UVH untuk tujuan pembelajaran dan ia adalah situasi menang-menang antara UVH dan pihak swasta.
Sehingga kini pelbagai jenis haiwan liar dan eksotik telah dihantar dan mendapatkan rawatan di UVH.
Menurut Dr. Wahid, pihaknya juga turut menjalinkan hubungan yang erat bersama agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Jelas beliau dalam usaha menyelaras dan menyelia UVH pastinya terselit cabaran-cabaran yang tertentu namun yang paling sukar adalah untuk memuaskan hati semua pelanggan yang hadir mendapatkan perkhidmatan di sama.
"Kita cuba berikan khidmat serta nasihat yang terbaik buat semua pelanggan dari segi pengendalian kes malah pelanggan boleh melakukan aduan sekiranya mereka tidak berpuas hati," katanya.
Namun, sehingga kini UVH mampu menangani pelbagai jenis kes berikutan perkhidmatan yang diberikan adalah daripada mereka yang benar-benar memiliki kemahiran.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban