Badminton akan ada rombakan



BARisan kejurulatihan diketuai Rashid Sidek (kiri) berbincang selepas sesi latihan skuad badminton negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Terkenal dengan gemar menukar kombinasi beregu, Tan Kim Her dijangka tidak hanya melakukan satu rombakan, malah mungkin memecah gandingan pasangan utamanya sepanjang kelayakan Piala Thomas di Macau, 13-19 Februari ini.
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bukan satu-satunya gandingan yang bakal dipisahkan ketua jurulatih beregu kebangsaan itu dalam usaha mencuri sekurang-kurangnya satu mata daripada acara beregu apabila bertemu Korea, malah Lim Khim Wah-Goh V Shem juga mungkin berdepan situasi yang sama.
Jika Boon Heong berpotensi digandingkan semula dengan pasangannya ketika memenangi kejuaraan remaja dunia 2004, Hoon Thien How, V Shem dijangka berpasangan dengan bekas gandingannya, Teo Kok Siang.
Kim Her juga sedia menurunkan kombinasi Thien How-Khim Wah seandainya mereka mempamer keserasian dalam perlawanan simulasi Piala Thomas yang akan diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara esok.
Dalam perlawanan tersebut, V Shem-Kok Siang akan turun menentang Kien Keat-Boon Heong, manakala Thien How-Khim Wah diuji pasangan muda, Tan Wee Kiong-Mak Hee Chun.
Meskipun kombinasi Kim Wah-V Shem semakin meningkat sejak digandingkan awal tahun lalu, namun Kim Her lebih berminat mengetengahkan gandingan V Shem-Kok Siang yang pernah menyinar suatu ketika dulu, sebelum kecederaan lutut Kok Siang memaksa pasangan ini dipecahkan.
Selepas berpisah lebih setahun, kedua-dua pemain bakal diuji buat kali pertama pada Kejohanan All England bulan depan, yang turut menyaksikan Khim Wah diganding dengan Ong Jian Guo, dan Hee Chun yang merupakan pasangan Thien How kembali bergandingan dengan Wee Kiong.
"Dalam fikiran saya memang ada banyak kombinasi untuk diturunkan sepanjang Piala Thomas nanti kerana inilah kelebihan beregu, kita boleh mencuba beberapa strategi. Begitupun, saya tidak boleh dedahkan sekarang siapa akan turun jumpa siapa, bahaya kalau lawan dapat tahu.
"Namun sehingga Sukan Olimpik berakhir, semua gandingan baru ini akan dikekalkan," ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban