Cetusan Seni Festival Dram Dunia Royal Belum 2012

Festival Dram Dunia




Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 buat julung kalinya diadakan di Perak sempena Tahun Melawat Perak 2012.



EKPRESI seni budaya melalui pukulan dram memerlukan perincian yang cukup teliti. Bukan sekadar berhibur, galasan tanggungjawab mengangkat identiti sesebuah bangsa dan negara turut diambil kira.
Biarpun rata-rata persembahan deram lazimnya tidak disertai dengan dendangan lagu. Namun alunan getarannya cukup untuk membangkit dan memeriahkan suasana.
Nota muzik dan mesej yang ingin disampaikan melalui sesuatu persembahan mungkin tidak difahami sepenuhnya namun ia bukan penghalang kepada seluruh masyarakat dunia menghayati bunyinya.
Bertepatan itu, Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 yang buat julung kalinya dianjurkan di Perak menjadi intipati istimewa dalam menarik kunjungan pelancong tempatan dan luar negara untuk mendampingi seni di negeri itu.
Dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2012, majlis perasmian yang berlangsung penuh warna-warni di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir baru-baru ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung itu turut dihadiri isteri Zambry, Datin Seri Saripah Zulkilfli serta Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.
Walaupun hujan turun seawal pembukaan tirai majlis namun ia tidak sama sekali merencat orang ramai untuk menyaksikan persembahan tersebut biarpun terpaksa berpayung dan berteduh di bawah beberapa khemah yang disediakan.
Kumpulan tari daripada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Perak dan MBI yang memecah keheningan bandar raya Ipoh dengan memulakan persembahan pembukaan.


Keterujaan sebenar menyaksikan persembahan seni budaya itu semakin terserlah apabila orang ramai bersorak sebaik sahaja Wadaiko Syo, satu-satunya kumpulan dram Jepun di Asia Tenggara meneruskan persembahan.
Nama ‘Wadaiko’ yang membawa maksud dram Jepun digabung jalin bersama ‘Syo’ yang dimengertikan sebagai melonjak ke langit sekali gus memanifestasi getaran muzik asli negara matahari terbit itu biarpun nadanya agak mendatar.
Seterusnya tujuh anak muda dari Thailand yang menggelar diri sebagai Absolute Thai berjaya membangkitkan mood penonton dengan tempo muzik yang agak rancak.
Persembahan yang dikemudi oleh pensyarah dari Universiti Nakhon Pathom Rajabhat, Pairat Damrouddkittaworn bersama pelajar jurusan muziknya itu berjaya mencuit perhatian penonton.
Selain itu 10 pemuzik yang mewakili kumpulan U Ri So Ri dari Korea pula mempersona penonton dengan lemah-gemalai mereka melentuk alunan 10 alat muzik berbeza walaupun hanya dengan duduk bersila.
Selepas itu, persembahan ala samba terus menerobos ke pentas utama apabila kumpulan Capoeira Camara dari Brazil mempamerkan irama tipikal muzikal latin tradisional.
Ditubuhkan pada tahun 2005, kumpulan yang kini mempunyai akademi sendiri di Brazil dan Kanada telah menyertai pelbagai persembahan di peringkat antarabangsa termasuk di Jepun, Bermuda dan Switzerland.
Namun menariknya, alat muzik yang digunakan persis kail pancing ikan tersebut membunyikan petikan seolah-olah gitar sambil disertai persembahan berupa seni mempertahan diri.
Tuan rumah Malaysia meneruskan kehangatan festival apabila kumpulan White Percussion Unit bijak mengadunkan alunan muzik tempatan bersama campuran Asia Barat dan Barat.
Persembahan cukup bertenaga 12 ahli kumpulan tersebut yang ditubuhkan pada 2007 turut merencana penyampaian lagu rakyat versi moden, diganding bersama kemantapan bunyi dram, gitar serta pelbagai jenis gendang.
Mesej yang dibawa oleh kumpulan anak tempatan itu juga cukup mudah - selain berhibur, mereka turut menyeru pengunjung yang hadir supaya mencintai keamanan selain hidup dalam keadaan harmoni.
Persembahan dari Malaysia sekali lagi mendapat sorakan ramai apabila kumpulan Dhol Federation yang mengetengahkan muzik popular Bhangra yang menonjolkan keaslian identiti dan kebudayaan masyarakat Punjabi.
Kemeriahan malam festival diteruskan dengan kemunculan kumpulan Saratuspersen dari Bandung, Indonesia yang bertunjangkan kolaborasi elemen muzik moden dan tradisi sebagai konsep utama.
Menggabungkan kekuatan multi-etnik menerusi gabungan pelbagai genre muzik dari pelbagai daerah di Indonesia, persembahan anak jati negara seberang itu berjaya menunjukkan keaslian tradisi bangsa.
Apatah lagi, alatan muzik Bali seperti kantil yang diguna pakai bersama dram, bass, trumpet, seksofon serta biola menyerlahkan lagi keharmonian muzik dunia.
Persembahan menarik juga ditonjolkan oleh kumpulan Rhythm Masala dari Singapura yang mendendangkan alunan muzik cukup bersahaja.
Mungkin pengalaman beraksi di beberapa buah negara termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) banyak membantu, lebih-lebih lagi apabila kumpulan tersebut kini memegang rekod dunia Guiness World of Record apabila menyertai persembahan dram selama 50 jam tanpa henti di Durban, Afrika Selatan pada 2004.
Agak menghampakan
Kumpulan Bonita yang kemudiannya tampil dengan gadis-gadis jelita menerusi persembahan seni tari dan muzikal berjaya menghidupkan kembali suasana apabila mencerminkan ciri-ciri budaya Vietnam.
Persembahan oleh Malwa Sabhyacharak Club selepas itu pula sememangnya penuh dengan warna-warni yang menggambarkan keunikan budaya masyarakat di India.
Biarpun begitu, kumpulan persembahan anak jati dari Ipoh yang menyusul selepas itu gagal menyegat meskipun 15 anak muda berganding tenaga menyampaikan muzik tradisi dan lagu rakyat.
Begitu juga dengan kemunculan kumpulan anak muda mewakili Kuala Lumpur Drumline Corps (KLDC) dari Malaysia yang agak menghampakan apabila gagal mempamerkan citra warna negara ini.
Sekadar berbaju kemeja merah dan bertali hitam serta mengibarkan bendera Malaysia, sama sekali tidak menunjukkan ciri-ciri tradisi negara yang ampuh.
Bahkan pemilihan lagu umpama rentak tekno serta disulami bahasa Inggeris bagai mempamerkan asimilasi budaya yang tidak berpenghujung.
Kemuncak persembahan yang dinanti-nantikan menerusi persembahan Natiq Rhythm Group dari Republik Azerbajaian juga agak mengecewakan apabila berlaku masalah sistem audio yang gagal menghasilkan paduan bunyi mengasyikkan.
Alunan muzik yang diketuai Natiq Sirinov agak tenggelam dalam menghasilkan nada harmoni alunan muzik klasik Azerbaijan yang diadun bersama seni jazz kontemporari muzik Timur dan Barat.
Apapun, kesungguhan negeri Perak dalam menganjurkan festival deram bertaraf antarabangsa buat julung kalinya bermula 21 Februari hingga 26 Februari lalu wajar diberi pujian.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban