ECER tarik 9 pelaburan baru

ECER dan pelaburan baru




NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin bergambar bersama pelabur-pelabur pada Majlis Pertukaran Dokumen Komitmen Pelaburan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS


PUTRAJAYA 28 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sembilan pelaburan baru bernilai RM9.04 bilion dalam suku pertama tahun ini membabitkan Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Perdana Menteri berkata, sembilan projek tersebut melibatkan dua projek bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor; lima projek di Pahang (RM2 bilion) dan masing-masing satu projek bernilai RM1 bilion di Terengganu dan RM500 juta di Kelantan.
Tiga projek lagi telah diumumkan awal Januari lalu membabitkan pelaburan bernilai RM363 juta.
Menurut Najib, kesemua 12 pelaburan tersebut bakal mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan di samping menyumbang anggaran RM6 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020.
''Jumlah pelaburan yang besar itu membuktikan daya saing ECER dalam menarik para pelabur dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
''Ini adalah permulaan yang positif bagi tahun ini dan saya yakin ECER bakal melepasi sasaran pelaburan RM10 bilion untuk tahun ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Najib berkata, peningkatan itu disokong faktor kemudahan infrastruktur yang progresif di wilayah tersebut serta promosi pelaburan agresif ECERDC dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Katanya, sehingga kini kerajaan telah melabur sebanyak RM2 bilion untuk pembangunan infrastruktur di ECER bagi menyokong pelaburan sektor swasta.
Perdana Menteri berkata, lebih 70 peratus daripada jumlah pelaburan adalah dalam kluster pelancongan di ECER manakala selebihnya dalam sektor akuakultur, pembuatan dan pendidikan yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
''Saya bangga kerana sebahagian besar daripada pelaburan ini adalah daripada syarikat-syarikat tempatan, ini menunjukkan terdapat ruang yang luas untuk lebih banyak lagi syarikat tempatan melabur dalam negara," katanya.
Perkembangan positif itu, ujar beliau, adalah petanda baik untuk ECER yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM20.9 bilion sehingga Disember tahun lalu di samping mewujudkan 27,000 peluang pekerjaan.
Daripada jumlah itu, kata Perdana Menteri, RM4.7 bilion pelaburan telah diterima tahun lalu.
Sementara itu, Issace John berkata, pelaburan baru itu bakal meningkatkan lagi aktiviti ekonomi berasaskan sumber semula jadi di ECER dan membantu mewujudkan peluang ekonomi yang lebih baik dengan menjana lebih banyak peluang pekerjaan baru dan keusahawanan.
''Ini selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang berhasrat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di negara ini," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban