Evanescence Return

Evanescence kota janji


Setelah lama menyepi, kini mereka kembali dengan album terbaru, Evanescence. Dari kiri: Hunt, McLawhorn, Amy Lee, McCord dan Balsamo.


Setelah hampir enam tahun menyepi tanpa sebarang album baru, kehadiran Evanescence pada konsert Evanescence Live In Malaysia baru-baru ini ternyata mengubat rindu peminat mereka di sini.
Selain mempromosikan album baru yang dikeluarkan sekitar Ogos tahun lalu yang bertajuk Evanescence, kumpulan itu juga sebenarnya sangat teruja untuk mengadakan persembahan di Malaysia.
Malah, menurut vokalis kumpulan tersebut, Amy Lee, dia juga sebenarnya turut gementar menanti reaksi peminat mereka di sini.
Memberi jaminan akan mengadakan persembahan yang terbaik ketika sidang akhbar yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur sebelum ini, terbukti kumpulan yang berasal dari Arkansas, Amerika Syarikat itu mengotakan janji mereka.
Mula melangkah ke pentas tepat pukul 8.30 malam, kebingitan kira-kira 3,000 peminat mereka yang memenuhi seluruh pelosok ruang di KL Live menghantar semangat yang bukan sedikit.
Evanescence membuka tirai persembahan pada malam tersebut melalui lagu What You Want yang juga merupakan lagu baru mereka dengan penuh bertenaga.
Kerancakan konsert tersebut kemudiannya diteruskan lagi dengan lagu Going Under dan juga The Other Side.
Jujurnya, paduan tenaga antara vokalis kumpulan tersebut, Amy Lee yang kini sudah menjangkau umur 31 tahun bersama ahli kumpulannya merupakan suatu saat yang dinanti-nantikan oleh semua peminat mereka di sini.
Antara lagu lain yang turut dipersembahkan pada konsert tersebut ialah Lithium, Bring Me to Life, Call Me When You're Sober, Weight of The World, My Last Breath dan juga Made of Stone.
Memang tidak dapat dinafikan aura yang dimiliki oleh kumpulan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1995 ini mampu membuatkan siapa sahaja yang pergi ke konsert tersebut akan berasa kagum.
Selain itu, kelunakan suara Amy Lee juga sebenarnya merupakan salah satu daya penarik pada persembahan konsert yang dibawakan oleh JS Concert Productions dengan kerjasama Warner Music itu.
Malah, Amy juga berjaya menghambat perasaan sedih peminatnya apabila dia menyanyikan lagu My Immortal dengan penuh perasaan sebagai penutup persembahan.
Buktinya, apabila ada segelintir penonton turut menangis kerana terkesan dengan lirik serta lagu My Immortal tersebut.
Selain Amy Lee, Evanescence turut bersama-sama dijayakan oleh Terry Balsamo dan Troy McLawhorn (gitar), Tim McCord (bass) dan Will Hunt (drum).
Namun begitu, persembahan kira-kira satu jam 15 minit itu dirasakan terlalu singkat dan tidak salah dikatakan jika penonton sememangnya mahukan sesuatu yang lebih daripada itu.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban