Najib mahu belia Cina sokong calon MCA












KUALA LUMPUR 24 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat Cina terutamanya golongan belia agar memberi sokongan padu kepada calon-calon MCA yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Perdana Menteri berkata, ini kerana calon-calon MCA tersebut akan menjadi wakil penting bagi kaum Cina dalam menyampaikan suara dan apa yang diperlukan mereka kepada kerajaan.

"Harap kita mendapat kerajaan yang kuat pada pilihan raya umum nanti yang mewakili semua kaum. Jadi kepada belia, jika anda mahu suara dan pandangan didengari oleh kerajaan, maka sokonglah calon MCA," katanya pada sesi Dialog Belia Cina Bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada seorang belia Cina yang mahu mengetahui sama ada Barisan Nasional (BN) masih akan melantik menteri dan timbalan menteri daripada kalangan ahli politik MCA sekiranya calon parti itu kalah teruk pada pilihan raya umum nanti.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata, BN tidak mahu kalah pada pilihan raya umum nanti. Begitu juga BN tidak mahu semua calon yang mewakili MCA kalah.

"Oleh itu, apa yang penting bagi kita adalah untuk fokus kepada kemenangan dan ini bermakna kita mahu MCA juga menang. MCA sedang buat yang terbaik iaitu mendekati orang Cina," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan lain berhubung persepsi golongan pendatang terhadap orang Cina di negara ini, Najib mengingatkan semua pihak supaya membuang tanggapan seperti itu kerana ia sebenarnya menjadi permainan pihak-pihak tertentu yang mahu mengganggu-gugat perpaduan semua kaum di Malaysia.

"Sudah pasti dalam setiap komuniti akan ada seorang dua yang kepalanya 'tidak betul'. Jadi jangan jadikan tuduhan seperti itu satu perkara yang peribadi. Jangan sesekali anggap kaum Cina di negara ini sebagai pendatang," katanya.

Najib dalam pada itu turut mengumumkan penyediaan dana berjumlah RM30 juta kepada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membolehkan belia Cina mendapatkan pinjaman untuk memulakan perniagaan.





Related Posts :Info Politik

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban