Tidak kesah kata orang

Izara Aishah
















































LEBIH selesa untuk tidak membicarakan soal peribadi.
NAMA gadis genit ini antara yang sedang meraih perhatian meluas.Berbekalkan wajah yang manis dipandang, Izara Aishah telah berupaya meletakkan dirinya dalam kelompok pelakon pelapis yang mampu pergi jauh.
Terima kasih kepada impak drama Vanila Coklat dan Soffiya yang telah melonjakkan namanya sehingga mampu ke puncak populariti.


Sedang enak diuliti nikmat populariti itu, tiba-tiba namanya terpalit dengan kisah yang kurang enak apabila dikatakan sudah mula membawa masalah kepada beberapa pihak.
Pada Ahad lalu, beberapa akhbar utama menulis tentang sikap buruk pelakon ini. Pelakon yang mesra disapa Izara ini sudah terkena sindrom artis tidak berdisiplin yang sudah menjadi kelaziman untuk artis-artis popular.
Semuanya bermula apabila Izara dikatakan lewat menghadiri majlis anjuran sebuah stesen televisyen (TV) dan memberikan pelbagai alasan lapuk untuk mempertahankan dirinya.
Dikhabarkan juga, insiden terbaru itu bukan yang pertama tetapi sudah banyak kali Izara hadir lewat untuk temu janji yang telah ditetapkan.
Apakah benar Izara sudah berubah hanya kerana dia antara bintang popular masa kini? Adakah itu juga menjadi tiket emas untuknya bersikap demikian hanya kerana nama sudah besar?
Sambil menghela nafas panjang, Izara membuka bicara dengan tenang sekali meskipun terkejut dengan apa yang telah diberitakan.
Ternyata dia bersikap terbuka. Mahu menjernihkan keadaan, gadis berusia 20 tahun ini memberikan justifikasi.
“Jujurnya yang berlaku semuanya adalah salah faham. Jadual saya telah diatur sebaik-baiknya oleh pihak pengurusan. Saya hanya terlibat dengan rakaman program pada sebelah malam yang telah pun dipersetujui terlebih awal.
“Tentang sesi fotografi itu, semuanya dimaklumkan pada saat akhir dan pada masa yang sama, saya berada di lokasi berbeza dengan stesen TV yang lain. Itu juga sudah dimaklumkan.
“Jadi, saya harus selesaikan komitmen sedia ada dan barulah ke lokasi seterusnya. Saya mencuba sebaik mungkin untuk memuaskan hati semua pihak," katanya, memberikan alasan bagi pihak diri.
Bagaimanapun Izara akur bahawa dalam apa juga keadaan, ada juga silap diri yang tidak mampu dinafikan.
“Lantaran itu, jika ada yang terasa hati dengan apa yang telah berlaku, dari hati yang luhur, saya memohon ampun dan maaf. Saya tidak berlagak atau sudah besar kepala seperti yang diperkatakan," katanya dalam nada lembut dan jujur.
Menyambung bicara, Izara enggan memanjangkan lagi isu ini yang dianggapnya boleh diselesaikan dengan cara baik.
Bagi pelakon drama rantaian Keranamu Laila ini, adalah tidak adil untuk semua pihak yang terbabit menuding jari ke arahnya seratus peratus.
Jangan hanya kerana dirinya seorang artis dan menjadi perhatian masyarakat, dengan mudah segala masalah yang berlaku diletakkan di bahunya.
“Setiap perkara yang terjadi bukan semuanya berpunca daripada satu pihak sahaja. Pasti ada pihak lain juga perlu bertanggungjawab atas segala masalah yang telah timbul.
“Seperti mana yang saya katakan tadi, sebagai bintang baru, saya mencuba sedaya-upaya untuk menjaga hati semua pihak," ujar Izara penuh diplomasi.
Dicaci peminat
BARANGKALI sebagai seorang pelakon baru, Izara sendiri tidak pernah membayangkan populariti yang dikecapinya ketika ini.
Sebagai artis, banyak perkara yang harus dikorbankan oleh anak muda ini dalam mengejar cita-citanya mahu menjadi seorang aktres yang disegani.
Perihal ini juga diakui oleh Izara apabila dia memberitahu kedudukan selesa hari ini bukan sesuatu yang datang bergolek.
Semuanya adalah kerana peminat yang tidak pernah lelah menyokong dari awal pembabitannya.
“Saya juga sedar bukan semua suka dengan kita. Dalam seratus, mungkin hanya sepuluh orang yang bersikap negatif dan tidak menyukai kita. Biasalah, adat resam dunia hiburan.
“Saya seorang yang mudah terbawa-bawa dengan apa yang diperkatakan orang. Jika kritikan tentang lakonan, itu sesuatu yang amat dialu-alukan dan saya menerimanya dengan terbuka.
“Tetapi, jika cacian dan makian itu lebih terarah kepada kehidupan peribadi, saya tidak ambil pusing. Kalau terlalu difikirkan, ia akan membuat saya lagi tertekan," katanya sambil melirik senyuman manis.
Atas dasar itu, jelas Izara, dia juga membuat keputusan untuk tidak mahu mendedahkan cerita peribadi terutama hubungan cintanya.
Dia mengakui ketika ini, ramai yang sudah tahu akan statusnya dan ia adalah satu rahsia terbuka buat mereka yang mengetahuinya.
Tetapi, untuk pelakon drama Oh My! English ini sendiri yang mahu menghebahkan kepada masyarakat, dia tidak akan berganjak dengan pendirian peribadi.
“Apa yang menyedihkan, ada peminat yang turut mengheret kekasih saya sekali dan mencaci dengan perkataan yang kurang baik.
“Semuanya gara-gara kerana mereka mahukan saya berpacaran dengan Aiman Hakim Ridza yang menjadi pasangan saya dalam Vanila Coklat.
“Pening kepala juga dibuatnya dan penat mahu menjelaskan kepada mereka akan situasi yang sebenar. Kasihan juga kepada Aiman yang berhadapan dengan masalah serupa," katanya sambil ketawa.


Related Posts :Info Artis

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban