Bekas ketua Wanita UMNO mati dibunuh













RUMAH tempat kejadian Halimah Yunus (gambar kecil) mati dipercayai dibunuh selepas ditemui berlumuran darah di bilik tidur rumahnya di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, Alor Setar, semalam. - MINGGUAN/KAMAL BASIR
ALOR SETAR 21 Julai - Bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Bukit Hangus, Sik, dekat sini mati dipercayai dibunuh selepas rumahnya dipecah masuk malam tadi.
Mangsa, Halimah Yunus, 66, yang mengetuai wanita UMNO cawangan itu sekitar 1990-an ditemui suaminya, Mee Hashim, 63, dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di bahagian leher kiri di bilik tidur mereka kira-kira pukul 9.30 malam.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang menghidap penyakit lelah sejak beberapa tahun lalu berseorangan di rumah itu manakala suaminya ke surau kampung tersebut sejak pukul 7.30 malam untuk menunaikan solat sunat tarawih.
Mee berkata, sejurus tiba di rumah, dia terkejut melihat Halimah terbaring di atas katil dalam keadaan cedera parah dan isterinya itu sempat memberitahu dia dikelar oleh seorang individu yang tidak dikenali.
“Saya segera meminta bantuan jiran untuk membawa Halimah ke Hospital Sik namun isteri saya disahkan meninggal dunia apabila sampai di situ," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Mee memberitahu, terdapat kesan pecah masuk di pintu belakang tetapi barangan di dalam rumah tidak diusik termasuk tiada kehilangan barang berharga.
Menurutnya, mereka hanya tinggal berdua di rumah papan dua tingkat tersebut dan kejadian pecah masuk itu pertama kali dialami keluarganya.
“Saya tidak pasti motif kejadian kerana arwah seorang yang baik dan dikenali penduduk," katanya yang memberitahu rumahnya berada agak jauh dari kediaman jiran lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, polis masih menyiasat motif kejadian kerana tiada barangan berharga dilaporkan hilang dan tidak menemui senjata yang digunakan dalam kes tersebut.
Menurutnya, rumah mangsa terletak agak ke pedalaman dengan jarak rumah jiran terdekat kira-kira 200 meter.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.






Related Posts :Info Tragedi

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban