Mencari Cinta ke Korea, Indonesia


PARA pelakon dan tenaga kerja Mencari Cinta selepas pelancaran filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
PELBAGAI usaha dilakukan oleh pihak penerbit Mencari Cinta iaitu Madiera Red Movie Associates Sdn. Bhd. bagi memastikan filem itu dapat dikembangkan tayangannya, sekali gus menambah hasil pendapatan apabila ia akan ditayangkan di Korea Selatan pada masa masa akan datang.
Menurut Riezman Khuzaimi selaku penerbit syarikat produksi itu, pihaknya akan mengalih suara Mencari Cinta ke dalam bahasa Korea sebelum ditayangkan di negara tersebut.


"Perbincangan sedang diadakan dengan pihak pengedar filem di Korea bagi memasarkan Mencari Cinta di sana selewat-lewatnya pada tahun depan. Untuk itu, kami akan mengalih bahasa filem ini ke bahasa Korea.
"Ia bagi memudahkan ia diedar serta ditayangkan sama ada di pawagam ataupun stesen-stesen televisyen di sana. Bukan itu sahaja, malah kami juga mempunyai perancangan untuk mengedarkan filem ini di Indonesia.
"Cuma di Indonesia kita mungkin tiada masalah daripada segi bahasa kerana ia ada persamaan dengan bahasa Malaysia. Kami akan ke Jakarta selepas Hari Raya Aidilfitri ini untuk perbincangan lebih lanjut dengan pengedar di sana," ujarnya.
Riezman yang juga Penolong Pengarah Mencari Cinta berkata, dia yakin mampu menembusi pasaran terutamanya Korea berdasarkan jalan cerita filem itu yang berkisar tentang kisah cinta romantis yang begitu popular di sana.
Malah, dia yang turut berlakon dalam filem arahan adiknya, Shirin Khuzaimi itu bertambah yakin dengan elemen cinta yang ditampilkan menerusi Mencari Cinta agak berbeza dan jarang ditampilkan dalam filem-filem Korea.
"Filem ini banyak menggunakan falsafah dan pendekatan cinta yang diamalkan oleh Nabi Muhammad sewaktu baginda bergaul dengan isteri-isteri baginda di mana banyak elemen romantis itu dipaparkan dalam filem ini.
"Tugas itu disempurnakan oleh pelakon utamanya iaitu Rusdi Ramli dan Nora Danish dalam filem ini yang keseluruhannya menelan kos produksi dan promosi mencecah RM1.5 juta dan akan ditayangkan sebelum hujung tahun ini," ujarnya.
Antara pelakon yang membintangi filem pertama terbitan Madiera Red Movie Associates Sdn. Bhd. yang tamat menjalani penggambarannya selama 18 hari itu ialah Norlida Ahmad, Mahmud Ali Basha, Daphne Iking dan Fouziah Ghous.
Tambah menguatkan lagi promosi dan bagi menarik para penonton menyaksikan Mencari Cinta, novel berjudul Mencari Cinta yang diadaptasi daripada filem itu turut diterbitkan dan telah berada di pasaran baru-baru ini.
Jelas pengarah Mencari Cinta, Shirin Khuzaimi, novel terbitan Armnet Integrated Sdn. Bhd. tulisan Norzailina Nordin itu diharap mampu mempromosikan lagi filem dalam genre cinta romantik tersebut.
"Asalnya Mencari Cinta adalah sebuah skrip di mana ia kemudiannya telah dikembangkan menjadi sebuah novel. Selepas itu, ia diangkat pula ke medium filem. Perjalanan karya ini agak unik dan ia melalui pelbagai proses berbeza.
"Setiap karya sama ada filem dan novel menampilkan gaya persembahan yang berbeza walaupun ia berdasarkan jalan cerita serta sumber yang sama. Ini adalah keunikan Mencari Cinta berbanding karya adaptasi lain.
"Apatah lagi, Mencari Cinta adalah filem pertama yang dijadikan novel. Biasanya ramai pembikin filem membuat filem berdasarkan adaptasi daripada novel dan kami melakukan yang sebaliknya bagi mencari kelainan.
"Cara ini banyak dilakukan dalam bidang perfileman di luar negara terutamanya di Hollywood. Antara filem yang menggunakan kaedah ini ialah filem The Lucky One lakonan Zac Efron baru-baru ini," katanya.
Selain itu, Mencari Cinta turut menerbitkan sebuah album yang menampilkan tujuh buah lagu asal yang menjadi latar sepanjang perjalanan filem itu yang mana ia mampu mempromosikan lagi apabila filem itu ditayangkan kelak.
Empat lagu yang antaranya dinyanyikan oleh Riz dan Shahri Akademi Fantasia serta Intan dan Asmidar itu berjudul Mencari Cinta, Kerinduan, Syadu Cinta dan Ini Takdir Kita itu dicipta oleh komposer Sharon Paul dan K. Anuar.



Related Posts :Info Perfileman,Info Produksi

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban