Penjenayah Tegar Mati Ditembak


ANGGOTA polis memeriksa sebuah kereta Proton Waja selepas menembak mati seorang penjenayah dalam kejadian di Taman Tema Air Taman Desa semalam. Pix: Kosmo!ANGGOTA polis memeriksa sebuah kereta Proton Waja selepas menembak mati seorang penjenayah dalam kejadian di Taman Tema Air Taman Desa semalam. Pix: Kosmo! 































KUALA LUMPUR: Tindakan kejam seorang penjenayah yang mencederakan dua anggota polis ketika hendak membuat pemeriksaan di Jalan Kuchai Lama Rabu lalu berbalas apabila dia maut dalam kejadian berbalas tembak di tempat letak kereta Taman Tema Air Taman Desa di sini semalam.

Difahamkan, suspek berusia 32 tahun tersebut maut pada pukul 3.30 pagi selepas terkena tiga das tembakan di kaki dan perut yang dilepaskan oleh pasukan khas yang ditugaskan untuk memburu suspek.
Suspek dari Lanchang, Mentakab, Pahang merupakan pengedar dadah kecil-kecilan dan dikenali sebagai penjenayah tegar kerana sering keluar masuk lokap berdasarkan enam rekod jenayah termasuk berkaitan dadah yang dilakukan.

Menurut sumber, pihaknya yang telah mengenal pasti suspek kemudian telah menjejak dan mengekorinya sejak kejadian dua anggota polis, Koperal R. Subramaniam, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera ditembak di perut dan leher pada pukul 6.45 petang 26 September lalu.

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, polis kemudian telah terserempak sebuah kereta jenis Protan Waja berwarna perak yang dipandu suspek di depan pusat beli-belah Mid Valley di Jalan Syed Putra di sini.

"Polis cuba menahan kereta itu tetapi suspek terus memecut laju sejauh kira-kira sembilan kilometer hingga ke Taman Tema Air Taman Desa.

"Kereta suspek kemudian telah terbabas ketika tiba di tempat letak kereta taman itu sebelum dia melepaskan tembakan ke arah polis yang ingin memeriksanya. Bagi mempertahankan diri, polis telah membalas tembakan itu yang menyebabkan dia mati," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Khamis lalu Kosmo! melaporkan, Subramaniam dan Nor Azlan masing-masing cedera di perut dan leher selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara. Turut terkena tembakan ialah orang awam.

Kejadian berlaku ketika mangsa hendak membuat pemeriksaan selepas mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki suspek menemui sepucuk pistol semi automatik jenis Norincho berisi peluru, satu kelopak mengandungi dua butir kelongsong dan sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger dan sebilah kapak.

Katanya, berdasarkan senjata itu, pihaknya percaya suspek merupakan penjenayah yang menembak dua anggotanya dalan kejadian baru-baru ini.

"Semakan mendapati suspek terlibat dalam kegiatan mengedar dadah secara kecil-kecilan dan mempunyai enam rekod jenayah lampau.

"Kereta yang digunakan dilaporkan dicuri di Kelana Jaya pada 12 Ogos lalu," katanya yang akan menjalankan ujian balistik untuk mengetahui punca dari mana suspek mendapat senjata api dan peluru tersebut.

Sehubungan itu, Chin Wah memberitahu, pihaknya mencari dua lelaki yang dikenali sebagai Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, dari Lanchang dan Mohamad Fitri Abdul Aziz, 17, dari Taman Wahyu di sini bagi membantu siasatan.

Orang rami yang mengenali mereka diminta menghubungi Rakan Cop di talian 03-2115 9999 atau SMS ke 32738 bagi membantu siasatan.



- Kosmo!

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban