Suspek tembak 2 polis, mati ditembak


























KU Chin Wah (kanan) bersama dua anggotanya menunjukkan pistol yang dirampas dari seorang penjenayah yang ditembak mati pada sidang akhbar di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polis hari ini menembak mati seorang daripada beberapa suspek yang dipercayai terlibat menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama di sini Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, suspek berusia 32 tahun cuba meloloskan diri apabila kereta Proton Waja dipandunya ditahan untuk pemeriksaan berhampiran Pusat Beli-belah Mid Valley.
Suspek yang menaiki kereta itu seorang diri enggan berhenti sebaliknya memecut sebelum dikejar anggota pasukan itu sehingga terbabas di kawasan letak kenderaan Desa Water Park.
Lelaki tersebut kemudian melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan anggota polis membalas sehingga suspek terbunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah suspek yang terlibat dalam kes terbabit dan kereta digunakan suspek merupakan kenderaan curi serta menggunakan plat pendaftaran palsu.
"Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah sepucuk pistol semi auto bersama sebutir peluru di dalamnya, satu kelopak mengandungi sebutir peluru 9MM jenis Luger, dua kelongsong peluru dan sebilah kapak," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Travers di sini hari ini.
Dalam kejadian Rabu lalu, dua anggota polis, Koperal R. Subramaniam, 52, cedera di perut manakala rakan setugasnya Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera di leher selepas ditembak penjenayah itu.
Kejadian berlaku ketika dua anggota terbabit menahan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki empat lelaki itu berhampiran persimpangan lampu isyarat menghala ke Bukit Jalil.
Menurut Chin Wah, polis belum dapat memastikan bilangan penjenayah yang terlibat dalam kes tersebut namun ketika ini memburu dua lagi individu termasuk adik kepada suspek yang ditembak mati bersama seorang remaja berusia 17 tahun.
"Mereka yang diburu ialah adik kepada suspek iaitu Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil berusia 30 tahun dan alamat terakhir di Mentakab, Pahang dan seorang remaja 17 tahun bernama Mohd. Fitri Abdul Aziz beralamat di Taman Wahyu, Jinjang," ujarnya.
Jelas Chin Wah, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah sebelum ini.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban