Ancaman siput gondang emas



Seorang petani menunjukkan telur siput gondang emas kepada Dr. Ahmad Ismail (kanan) baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ahmad Ismail, serangan siput gondang emas memberi kesan secara langsung kepada petani.

Hal demikian kerana petani terpaksa menanggung beban upah, racun, benih, membajak semula sawah dan baja bagi melaksanakan proses menanam semula padi yang telah musnah.

"Kos yang ditanggung kadang-kala mencecah RM500 hingga RM 1000 bagi satu petak sawah.
"Subsidi kerajaan yang diperoleh didapati tidak mencukupi untuk menanggung kos kerosakan akibat serangan siput gondang emas," ujarnya.

Menurut Dr. Ahmad, kos mengusahakan sawah padi kini tidak menentu bergantung kepada keadaan musim.
"Jika tiba musim hujan, kos pengurusan air akan meningkat di samping serangan siput yang begitu banyak di dalam sawah," katanya.

Kajian demi kajian telah dijalankan oleh penyelidik dari Jabatan Biologi, UPM untuk menghalang penyebaran gondang emas ke kawasan sawah padi dan sistem saliran di sekitar Semenanjung Malaysia sejak pada awal 1990an lagi.



Menerusi kajian yang dijalankan kumpulan penyelidik terbabit, mereka berjaya menemui beberapa kaedah bagi mengawal penyebaran siput tersebut.
Pada awal 1990an, banyak siput gondang emas dikesan sekitar kawasan sawah padi di selatan Thailand dan kawasan tanaman kangkung di Hadyai.

Oleh itu, adalah dipercayai pengimportan kangkung adalah antara cara siput gondang emas masuk ke negara ini di samping cara lain seperti pengimportan haiwan akuarium dan anak pokok padi.
Kemampuan siput gondang emas membiak dengan cepat dalam persekitaran berair membolehkan populasinya meningkat dengan pantas.

Tambahan, siput gondang emas mampu memusnahkan anak padi hanya dalam masa 24 jam sahaja.
Siput gondang emas juga telah dikenali sebagai haiwan perosak sawah padi di Thailand, Filipina dan Taiwan.
Ia adalah sejenis haiwan herbivor yang merosakkan tanaman padi dengan cara menyerang pangkal anak pokok padi sebelum memusnahkan bahagian lain.

Selain itu, siput tersebut juga mampu menyerang dan merosakkan anak-anak padi yang baharu tumbuh seawal 30 hari selepas disemai.
Menurut laporan, kerosakan disebabkan oleh siput ini boleh mencapai melebihi 90 peratus dan kemuncak kerosakan adalah dalam tempoh kurang daripada 14 hari.

Bagi mengelakkan kerosakan yang maksimum berlaku kepada sawah padi, sistem kawalan yang berkesan perlu dilaksanakan seawal peringkat membajak sawah.
Namun kata Dr. Ahmad, biarpun maklumat tentang biologi siput gondang emas terutamanya daripada segi kitaran hidup, habitat, tabiat sudah difahami namun proses untuk mengawal serangan siput tersebut masih kurang berkesan.
Menurutnya, biarpun pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah memaklumkan kaedah kawalan kepada petani namun nasihat itu masih belum berkesan.
"Mungkin sistem yang lebih baik, berkesan dan konsisten perlu diberikan kepada petani.
"Sebenarnya banyak kaedah yang bersepadu boleh dijalankan dan petani memerlukan bimbingan yang berstruktur serta mudah untuk mereka melaksanakannya," katanya.
Pihak bertanggungjawab seperti MADA boleh memimpin petani dalam melaksanakan kawalan siput yang berkesan.
Kawalan siput secara berkesan juga boleh dilakukan secara berkumpulan mengikut lokasi, maka kepimpinan dalam masyarakat sangat diperlukan.
Antaranya kawalan melalui kaedah mengutip dan kawalan sistem saliran bagi mengelakkan perpindahan siput ke dalam bendang, amalan pertanian bersepadu seperti pemeliharaan kambing, itik, dan ikan mengikut peringkat aktiviti tanaman padi.

Penggunaan racun yang betul juga amat penting dan perlu diberikan perhatian agar petani tidak menggunakan racun yang tidak dibenarkan.
Racun-racun yang boleh membunuh haiwan bukan sasaran (non-target animals) perlu dihalang kerana bahan kimia tersebut mampu membunuh haiwan lain terutamanya ikan.
Hal demikian kerana keracunan ikan boleh membahayakan manusia yang sering menjadikannya sebagai makanan.

Dalam pada itu, ujar Dr. Ahmad, pihak yang bertanggungjawab juga boleh mendapatkan khidmat pakar yang ada di Malaysia bagi membantu memberikan taklimat dan pandangan kepada petani.
Seterusnya kumpulan pakar ini boleh membantu dalam melaksanakan pelbagai jenis kajian untuk mencari jalan terbaik bagi mengawal haiwan perosak tersebut.
Malah, katanya pihak yang bertanggungjawab harus membantu para petani dengan kadar segera sebagai cara menyokong kerajaan mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi.

"Sekiranya petani perlu membelanjakan banyak wang untuk mengawal perosak ini maka menjejaskan pendapatan mereka," katanya.

Antara lain, pihak yang bertanggungjawab juga boleh memikirkan cara agar siput tersebut boleh digunakan sebagai baja, makanan haiwan, sumber protein dan pelbagai lagi produk yang lain.- ASHRIQ FAHMY AHMAD






Related Posts :Info Agroculture, info business,

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban