KBioCorp majukan bidang pembaikbakaan

Anak benih hasil kultur tisu disusun pada rak yang disediakan bagi memudahkan proses dokumentasi.
DITUBUHKAN sejak tahun 2006 dengan menawarkan kepakaran di dalam bidang fitokimia (phytochemistry) bagi produk berasaskan tumbuhan dan alam semulajadi, KBioCorps kini mampu berbangga dengan produk keluarannya.
Lebih dikenali sebagai Kedah BioResources Corporation Sdn. Bhd., KBioCorps merupakan subsidiari Kulim Technology Park Corporation Sdn. bhd. (KTPC) turut menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kelengkapan untuk kegunaan pihak industri.
Terletak di Techno Centre of Kulim Hi-Tech Park, kedudukan KBioCorp sememangnya strategik kerana kawasan tersebut merupakan kawasan khas yang dibangunkan untuk industri teknologi tinggi dan juga penyelidikan dan pengembangan (R&D).
Sektor industri yang terlibat adalah seperti sains tumbuhan dan kultur tisu, kilang percubaan pemprosesan produk herba, latihan serta perkhidmatan konsultan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KBioCorps, Aminudin Shuib, visi sebenar penubuhan syarikat tersebut adalah untuk menyediakan perkhidmatan makmal, pemprosesan produk herba dan kilang kultur tisu
"Kami di sini menawarkan kepakaran serta kemahiran kepada pelanggan yang mana boleh membantu mereka meningkatkan keupayaan sesebuah organisasi (syarikat).
''Antaranya adalah perkhidmatan ujian makmal bagi mereka yang berminat untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat serta pelbagai lagi," katanya.
Beliau ditemui pada program lawatan media ke KBioCorp yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) baru-baru ini.
Terdapat pelbagai ujian makmal boleh dijalankan makmal KBioCorp antaranya ujian mikrobiologi, ujian mineral dan kandungan logam berat, ujian produk halal, analisis nutrisi makanan dan fitokimia.
Seterusnya, ujian farmasi, ujian air kumbahan, mengesan logam berat dalam spesimen biologikal, ujian kimia, kajian kestabilan serta ujian tanah dan baja.


Selain itu, terdapat juga beberapa kilang pada skala percubaan (pilot plant) yang dibina seperti kemudahan pengekstrakan bahan pepejal kepada cecair (extraction), kemudahan semburan kering, kemudahan pembungkusan uncang, pemproses herba dan pengekstrakan herba.
Bagi perkhidmatan latihan dan konsultan, KBioCorp turut menyediakan latihan jangka masa pendek, konsultan bagi membantu usahawan tempatan untuk memajukan perniagaan mereka.
Namun, di sebalik perkhidmatan yang disediakan, KBioCorp turut menghasilkan produk kultur tisu sendiri melalui makmal miliknya.
Antara tanaman yang dihasilkan oleh KBioCorp menerusi teknik kultur tisu adalah pisang, nanas, misai kucing, kacip fatimah, hempedu bumi, mas cotek dan betik.
Kejayaan KBioCorp menghasilkan produk kultur tisu bukan dilaksanakan secara individu, malah banyak pihak yang terlibat menerusi kolaborasi bersama NCIA, rakan industri dan ahli akademik.
Kemudahan yang terdapat di sana bukan sahaja untuk tujuan R&D, malah ia juga merupakan pusat bagi menghasilkan produk bioteknologi tumbuhan dan juga perkhidmatan.
Jelas Aminudin, KBioCorp turut memiliki kemahiran untuk melaksanakan penandaan asid deoksiribonukleik (DNA) tumbuhan, mengumpul dan menyimpan germplasma tumbuhan semulajadi.
"Kita juga turut menyediakan khidmat nasihat bagi program pembangunan modal insan di dalam bidang agribioteknologi, pengkomersialan ubat-ubatan berasaskan tumbuhan untuk industri farmaseutikal.
"Selain itu, kita juga membantu mengkomersialkan buah-buahan bagi pihak industri agrikultur," katanya.
KbioCorp yang bertindak sebagai sebuah pusat kecemerlangan turut mementingkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, malah makmal yang terdapat di sana telah menerima anugerah akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia iaitu ISO/IEC/17025 (SAMM No. 463).
Antara kejayaan lain, KBioCorp juga telah dipilih sebagai rakan strategik BioNexus (BNP) di bawah program Rakan Strategik BioNexus yang diwujudkan oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia (Biotechcorp).
KBioCorp juga telah dianugerahkan dengan sijil QE oleh Malaysia Productivity Corporation.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban