Mengurus sisa radioaktif


Sisa nuklear diperiksa secara manual dan visual oleh petugas.
UMUMNYA, sisa radioaktif merupakan bahan yang mengandungi atau tercemar dengan unsur radioktif (radionuklid).
Bahan radioaktif boleh wujud secara semulajadi dan boleh juga dihasilkan akibat daripada buatan manusia.
Penggunaan dan pengeluaran bahan radioaktif ini akan menghasilkan sisa radioaktif.
Sisa radioaktif ini perlu diuruskan dengan selamat dan berkesan melalui kaedah-kaedah tertentu.
Ini dilakukan bagi melindungi kesihatan orang awam dan alam sekitar pada masa sekarang dan masa depan di samping tidak membebankan generasi akan datang.
Tanpa pengurusan sisa radioaktif yang sempurna dan sistematik, kita akan berdepan dengan pelbagai masalah.
Sisa radioaktif boleh dihasilkan daripada pelbagai aktiviti. Umumnya, ia boleh dihasilkan daripada kegiatan kuasa nuklear, kegiatan bukan kuasa nuklear, kegiatan perlombongan dan pemprosesan mineral yang mempunyai unsur radioaktif tabii.
Sisa radioaktif yang dihasilkan boleh wujud dalam keadaan pepejal, cecair dan gas.
Bagi kegiatan kuasa nuklear, ia melibatkan aktiviti seperti penjanaan tenaga elektrik, pemprosesan bahan api terpakai dan kegiatan senjata nuklear.
Sisa yang dihasilkan daripada kegiatan ini mempunyai kepekatan unsur radioaktif (radionuklid) yang rendah hinggalah tinggi bergantung kepada jenisnya.
Contoh sisa radioaktif yang dihasilkan daripada aktiviti loji tenaga nuklear adalah sisa daripada rawatan air sisa beradioaktif seperti enap cemar dan resin pertukaran ion (ion exchange resin) terpakai.
Unsur radioaktif yang wujud dalam sisa radioaktif daripada kegiatan kuasa nuklear adalah berbeza daripada kegiatan bukan kuasa nuklear seperti pemprosesan mineral beradioaktif.
Sisa radioaktif daripada kegiatan kuasa nuklear adalah melibatkan unsur radioaktif dari jenis produk pembelahan (fission product) dan produk pengaktifan (activation product).
Manakala sisa radioktif daripada kegiatan pemprosesan mineral beradioaktif mengandungi unsur radioaktif tabii.
Kegiatan bukan kuasa nuklear pula lazimnya melibatkan aktiviti pengunaan bahan radioktif di dalam sektor industri, perubatan dan penyelidikan.
Walau bagaimanapun, unsur yang terdapat dalam sisa radioaktif yang dihasilkan adalah terbatas dan isipadunya juga adalah terhad.
Dalam sektor industri, pengunaan teknologi nuklear banyak memberi manfaat.
Antaranya adalah teknik radiografi sinar-x atau gama bagi memeriksa kualiti kimpalan, teknik penyurihan bagi mengesan masalah kebocoran paip dan teknologi sinaran bagi sterilisasi produk perubatan dan pemvulkanan lateks getah asli.
Lazimnya, jenis bahan radioaktif yang biasa digunakan dalam sektor industri dan perubatan adalah dari jenis punca tekedap dan tak terkedap.
Apabila punca ini tidak digunakan atau tidak diperlukan lagi ia dikelaskan sebagai sisa radioaktif.
Dalam bidang perubatan pula, ia berkaitan dengan penyuntikan radioisotop atau unsur penyurih yang mengandungi unsur radioaktif ke dalam badan pesakit.
Sebatian radioaktif ini akan terkumpul dalam organ sasaran pesakit dan kamera gama digunakan bagi mengesan sinaran dan imej organ yang bermasalah dapat dihasilkan.
Justeru, jarum suntikan yang tercemar daripada aktiviti ini adalah dianggap sisa radioaktif. Ia tidak boleh dilupuskan seperti biasa dan perlu diasingkan daripada sisa pepejal yang lain dan dilupuskan mengikut kaedah tertentu.
Aktiviti perlombongan dan pemprosesan mineral mengandungi unsur radioaktif tabii dari siri uranium-238 dan torium-232 akan menghasilkan sisa radioaktif.
Ini kerana unsur radioaktif hadir atau terkandung bersama-sama mineral/galian berharga.
Kegiatan pemprosesan galian berharga ini akan turut menjana hasil sampingan yang mengandungi unsur radioaktif tabii.
Walau bagaimanapun, tahap keradioaktifan sisa daripada kegiatan ini adalah bergantung kepada lokasi asal dari mana mineral itu dikeluarkan.
Ini kerana kandungan unsur radioaktif dalam mineral adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan juga berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain.
Kandungan unsur radioaktif yang wujud dalam mineral adalah berkaitan dengan proses pembentukan geologi yang berlaku pada kawasan tersebut.
Terdapat beberapa kegiatan seperti perlombongan uranium, fosfat dan timah yang secara langsung mengandungi unsur tabii uranium dan torium.
Semua kegiatan ini akan menghasilkan sisa radioaktif tabii daripada siri uranium-238 dan torium-232.
Begitu halnya dengan kegiatan cari gali minyak, sisa enap cemar (oil sludge) yang dihasilkan adalah mengandungi unsur radioaktif (radionuklid) tabii.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban