PLPP bantu OKU


Pelajar PLPP Bangi, Mohd. Roysam Nizam (kanan) bersama tenaga pengajar, Ahmad Amar Abdullah (kiri) membaiki sebuah kerusi roda di bengkel baru-baru ini.
DILAHIRKAN sebagai orang kelainan upaya (OKU) atau kehilangan anggota badan akibat terlibat dalam kemalangan merupakan mimpi ngeri bagi sesiapa sahaja.
Bagi mereka yang terpaksa berhadapan dengan situasi itu, sudah pasti mengalami perasaan putus asa kerana kesukaran untuk bergerak dan tidak berupaya melaksanakan tugasan harian dengan sempurna.
Namun, seiring dengan pembangunan teknologi telah banyak inovasi dicipta dalam usaha membantu golongan tersebut menjalani aktiviti harian sekali gus memudahkan mereka bergerak.
Ini termasuk inovasi pada kerusi roda bagi memudahkan golongan tersebut terutama yang kehilangan anggota kaki melakukan aktiviti harian tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain.
Melalui inovasi tersebut, keperitan hidup yang dilalui mereka dapat dikurangkan, apatah lagi keadaan yang dilalui itu cukup mencabar bukan sahaja fizikal tetapi juga mental untuk menerima situasi yang kini telah menjadi hakikat hidup.
Prihatin dengan nasib golongan OKU pelbagai pihak tampil dengan pelbagai idea baru bagi membantu mereka mengharungi kehidupan.
Walaupun apa yang dihasilkan itu tidak mampu mengembalikan kehidupan mereka seperti sebelumnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan bebanan kehidupan dalam kehidupan seharian.
Tidak cukup dengan peralatan, mereka juga diberi latihan tertentu supaya dapat diguna untuk meningkatkan taraf hidup tanpa perlu bergantung kepada bantuan semata-mata.
Terbaru , Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Japan Sun Industry menubuhkan unit pembuatan kerusi roda bagi memberi peluang latihan kemahiran dan pembelajaran teknik pembuatan khusus untuk golongan tersebut.
Menerusi unit tersebut , golongan OKU diberi peluang mengikuti program khusus dalam usaha memberikan mereka kebolehan dan kemahiran dalam pembuatan mahu pun membaiki kerusi roda.
Menurut Ketua Unit Pembuatan Kerusi Roda PLPP Bangi, Mohd. Khairi Anuar Mohd. Roslay, program berkenaan juga menawarkan program pemulihan kepada mereka yang mengalami kecacatan fizikal tetapi masih mampu menggunakan kerusi roda.
“Mereka diberi bimbingan dari segi teori dan amali selain membuat dan membaiki kerusi roda untuk orang lain atau pun untuk kegunaan diri sendiri.
“Latihan yang diberikan juga mampu membantu menguruskan khidmat nasihat sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk tidak berputus asa menjalani kehidupan seharian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Tambahnya, setiap pelatih yang berdaftar akan diberi latihan kemahiran dari pegawai terlatih selain turut mendapat tajaan menghadiri kursus latihan di Jepun dalam bidang kerusi roda dan lain-lain yang berkaitan.
Di Jepun, mereka akan menjalani kursus secara berperingkat yang dibimbing oleh syarikat Japan Sun Industry Oita Beppu.
Setelah pulang ke tanah air, ilmu yang diperoleh akan digunakan melalui latihan amali dan praktikal.
Ujarnya, memandangkan PLPP Bangi adalah sebuah institusi di bawah JKM, perkhidmatan yang diberikan menjurus kepada orang kelainan upaya anggota melalui latihan vokasional dan pemulihan perubatan.
Dalam masa empat hari katanya, para pelatih yang terdiri daripada lima hingga 10 orang dalam satu kelas mampu menyiapkan sebuah kerusi roda standard yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan untuk dijual kepada pelanggan yang menempahnya.
Justeru kesemua kerusi roda yang dicipta akan dijual kepada pelanggan melalui tempahan yang dibuat mengikut spesifikasi yang dimahukan melalui PLPP dan JKM.
Tahap kecacatan
Berbicara lanjut, Mohd. Khairi Anuar berkata, PLPP Bangi merupakan satu-satunya institusi JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang memberi perkhidmatan kepada OKU fizikal dari segi latihan kemahiran selain menyediakan program pemulihan bersesuaian dengan tahap ketidakupayaan mereka.
Golongan tersebut yang berminat menyertai sebarang kursus perlu menjalani proses pemilihan melalui sesi temuduga oleh panel yang terdiri daripada Pegawai PLPP, Pegawai Perubatan dan Ahli Perubatan (Juru pulih anggota atau jurupulih kerja) bagi mengenalpasti tahap ketidakupayaan sebelum diberi surat tawaran kemasukan.
Bakal pelatih yang terpilih akan menjalani program orientasi selama dua minggu bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dan mengenalpasti bidang kemahiran masing-masing.
“Golongan OKU yang datang ke PLPP memiliki kelainan upaya fizikal berbeza yang dikenalpasti menerusi tahap kecacatan. Ada yang serius dan ada yang tidak terlalu serius.
“Mereka dikategorikan mengikut tahap kecacatan dan kecergasan. Pegawai bertugas akan menempatkan individu ini di dalam kelas mengikut kursus yang sesuai dengan tahap keupayaan," katanya.
Melalui perkhidmatan itu, pelatih akan dibantu oleh pegawai bertugas untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran dan bidang latihan bagi mengelak sebarang kemalangan.
Proses itu katanya, menuntut hubungan saling memahami dan keselesaan antara pelatih, majikan dan rakan sekerja agar kualiti perkhidmatan dapat diwujudkan.
PLPP juga akan berusaha menempatkan pelatih dalam industri pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kebolehan mereka selepas tamat tempoh kursus.
Sepanjang tempoh menjalani kursus latihan di PLPP, mereka diberikan pelbagai kemudahan seperti elaun galakan belajar, penginapan asrama beserta makan minum percuma, cuti tahunan, sukan dan rekreasi serta lawatan sambil belajar ke tempat yang menarik.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban